Sunday, September 25, 2022

Kerusi panas, kerusi berisiko tumbang

Secara Rawak

Apabila pihak polis mengkategorikan 20 kerusi panas beberapa hari lalu, apakah agaknya yang menjadi kriteria?

Setiap orang boleh mengemukakan senarai  dengan alasan atau justifikasi masing-masing .

Apakah kriteria polis ketika membuat pilihan kerusi panas?  Apakah kerusi panas berkenaan?  Menurut polis, antara kerusi panas ialah Batu Kawah, Tasik Biru, Pakan, Bawang Assan, dan Tanjung Datu.  Kerusi panas meliputi semua etnik dan kawasan.

Yang jelas, sebahagian besar kerusi panas berkenaan adalah juga kerusi yang dikategorikan sebagai hitam. Apabila hitam, implikasinya akan berlaku bersaingan sengit antara calon Barisan Nasional dengan pembangkang.

Untuk pilihan raya Sarawak ke-11 ini, terdapat beberapa kriteria boleh digariskan.

Pertama, ialah calon yang bertanding. Batu Kawa mungkin boleh dikategorikan sedemikian, kerana presiden SUPP yang akan bertempur di situ, menentang bukan sahaja  calon DAP, tetapi calon UPP yang bertanding atas tiket Bebas. Mereka ini bukan calang-calang, dengan calon DAP berjaya menumbangkan calon BN lima tahun lalu, manakala  presiden SUPP dan calon Bebas punya pengaruh yang tersendiri.  

Di Ba Kelalan sudah pasti usaha diambil untuk menumbangkan Baru Bian, pengerusi PKR Sarawak, sehingga kerusi itu juga boleh jadi panas. Wong Soon Koh yang bertanding kali ini di Bawang Assan tentu mencetuskan kepanasan kerana kerusi itu goyah dan semakin panas. Silap-silap gaya, beliau boleh tumbang dari kerusinya.

Kerusi membabitkan SUPP-UPP dan Teras-SPDP, dijangka menjadi panas. Kepanasannya adalah kerana masing-masing mahu memastikan kemenangan, dan pada waktu yang sama mahu melihat parti serpihan kecundang.  

Ramai yang menjangka akan berlaku sabotaj-mensabotaj, apatah lagi kini pun sudah terdapat bekas ahli dan pemimpinnya keluar parti untuk bertanding sebagai calon Bebas di kerusi berkenaan, misalnya seperti di Dudong dan Batu Kawah.

SUPP tentu mahu mengambil balik kerusi ditandingi calon langsung UPP jika tewas, sekali gus memberi legitimasi dan justifikasi kuat untuknya membuat tuntutan, apatah lagi kerusi itu memang secara tradisi, untuk sekian lama ditandingi SUPP.

Kriteria kedua ialah majoriti di kawasan terbabit. Kerusi yang dimenangi dengan majoriti kecil atau kerusi marginal misalnya Senadin, Batu Kawa, Dudong dan beberapa lagi, bakal mengalami suhu politik yang mendidih.  Kerusi berkenaan sudah pasti  menjadi sasaran DAP, PKR dan PAS  dalam tempoh sembilan hari kempen berbaki. Penyandang atau parti yang mewakilinya tentu cuba sedaya upaya mempertahankannya daripada terlepas ke tangan musuh.

DAP sedar akan risiko yang bakal dihadapi jika leka. Manakala bagi BN pula, dengan majoriti kecil dimenangi DAP, dan dengan strategi betul, mereka percaya kerusi  terbabit boleh dirampas kembali. Jangan hairan, tujuan akan menghalalkan cara bagi mempertahankan atau merebut kerusi itu.

Peluang kedua-dua pihak adalah 50-50, dengan andaian tidak ada faktor luar biasa seperti undi pos yang terlalu banyak bertambah di kawasan itu.

Hakikatnya, lebih sukar mempertahankan populariti untuk penggal kedua kecualilah individu berkenaan telah melipatgandakan usaha untuk memenangi hati rakyat dengan kerap turun ke akar umbi dan menyelesaikan masalah tempatan, terutama keperluan dan kemudahan asas.  .

Faktor ketiga, kerusi menjadi panas kerana perkembangan membabitkan calon. Calon Marudi,  Datu Dr Penguang Manggil telah menerima ancaman bunuh dan kini dikatakan agak terbantut pergerakannya kerana bimbang ancaman itu menjadi kenyataan.  Adakah politik menjadi sebegitu kotor sehingga pelakunya sanggup melakukan sesuatu yang di luar kewarasan? Atau politik memang sudah tidak ada kewarasan?

Keadaan di Marudi sebenarnya sudah panas menjelang hari-hari pengumuman calon, dengan penyandang tentu kecewa apabila namanya digugurkan meski telah diumumkan ketua menteri beberapa bulan lalu.

Bagi tangani kepanasan itu, pihak polis berjanji untuk menempatkan lebih ramai anggotanya. Panas atau tidak panas, kewarasan dan kebijaksanaan perlu diutamakan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru