Tuesday, August 16, 2022

10 kawasan hitam: Adenan

Secara Rawak

KUCHING: Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata pihaknya telah mengenal pasti sekurang-kurangnya ‘10 kawasan’  hitam dalam pilihan raya negeri kali ini.

“Kebanyakan kawasan ini terletak dalam kawasan Kuching dan Sibu – kerusi bandar yang sebelum ini memang kubu kuat pembangkang, “ katanya pada Majlis Ketua Menteri Bersama Pengamal Media di Dewan Undangan Negeri Sarawak  (Lama) dekat sini malam tadi.

Adenan berkata, untuk menghadapi situasi ini, pihaknya telah mengatur beberapa strategi bagi membolehkan kawasan-kawasan hitam ini dipulihkan menjadi kelabu atau putih.

Berkaitan kempen yang memasuki hari kedua semalam, Adenan berkata, beliau secara amnya berpuas hati dengan persediaan yang dilakukan kecuali di beberapa kawasan yang dianggapnya masih belum bergerak atau berfungsi sepenuhnya.

“Masih terlalu awal untuk membuat jangkaan, kerana masih berbaki 10 hari. Tetapi saya rasa mereka akan lebih bersedia selepas ini.

Kebanyakan calon katanya, telah bersedia untuk menghadapi hari penting ini, malah mereka telah bergerak sebelum proses penamaan calon berlangsung.

Menjawab soalan wartawan, Adenan berkata, beliau menilai calon-calonnya dengan harapan yang agak tinggi.

“ Ini kerana kami bekerja sebagai satu pasukan. Pasukan Adenan.

“ Saya dimaklumkan bahawa populariti saya agak tinggi. Oleh yang demikian saya mahu populariti ini membantu anggota-anggota pasukan saya. Saya seorang tidak boleh bertanding di 82 kawasan.

“Tetapi pasukan saya boleh. Mengundi mereka bermakna anda mengundi saya,” katanya.

Pasukan Adenan katanya, umpama pasukan bolasepak.

“ Mokhtar Dahari tidak boleh menjaringkan gol jika bukan kerana bantuan Hassan Sani, James Wong, Santokh Singh dan Shukor Salleh. Ia semangat berpasukan dan mereka berjaya.

Mengulas mengenai laporan beberapa bahan kempen seperti billboard dan kain rentang yang dirosak dan dibakar, Adenan tidak fikir ia berkait dengan provokasi parti-parti yang bertanding.

“Saya yakin ia disebabkan oleh perlakuan laku musnah. Ia berlaku kepada parti pembangkang dan juga BN.

“Saya akan menegaskan kepada penyokong BN agar tidak mengganggu poster pembangkang.”

Politik dacing dan dacing politik di Sarawak

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru