Monday, August 8, 2022

Wan Abdillah Ahmad berjuang di Sebuyau tangani isu air, masjid dan royalti kuari

Secara Rawak

SEBUYAU: Kecewa apabila sebuah kerajaan yang terkenal dengan kekayaan sumber alamnya, tidak mampu menyelesaikan masalah-masalah keperluan asas penduduk kampung, calon PAS, Wan Abdillah Ahmad yang juga merupakan penduduk asal kawasan ini mendedahkan isu royalti kuari di kawasan berkenaan.

Isu itu menurutnya antara isu paling lama yang masih belum diselesaikan oleh pemimpin sebelum ini.

“Isu kuari di Sebuyau memang sangat lama wujud.

“Sekarang umur saya dah 44, maknanya kuari itu tidak kurang 100 tahun.

“Malangnya sehingga hari ini walaupun dahulu kita dengar wujud persetujuan untuk membayar royalti kepada pihak masjid, tetapi apabila masjid dirobohkan, lain jadi ceritanya,”ujarnya.

Kata Wan Abdillah, turut menjadi keluhan masyarakat setempat adalah isu ketiadaan balai polis dan masjid baharu, memandangkan masjid usang yang ada sekarang hanya memuatkan 150 jemaah, sedangkan Sebuyau mempunyai lebih 700 jemaah.

Katanya lagi, beliau turut memperjuang klinik, sekolah menengah, dan tadika Kemas yang uzur.

“Ini melambangkan pemimpin parti kerajaan sebelum ini tidak serius dalam menukangi ehwal kebajikan rakyat,” katanya lagi.

Sebuyau yang merupakan sebuah pekan kecil perkampungan nelayan yang terdiri daripada masyarakat Melayu, Iban dan Cina di muara Batang Lupar.

Ia seharusnya sudah lama menikmati keperluan asas dan pembangunan seperti juga kawasan-kawasan lain.

“Namun, hingga kini pembangunan dan kebajikan masyarakat masih lagi di takuk lama,” katanya.

Justeru itu katanya, perubahan Sebuyau adalah dituntut, apatah lagi setelah dihambat pelbagai isu, termasuk masalah air, yang kini bergantung harap kepada tong biru. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru