KAPIT:  Isu hak Tanah Adat Bumiputera (NCR) sentiasa menggelegak dan menjadi duri dalam daging di Sarawak untuk sekian lama. Bagi masyarakat bumiputera Sarawak, khasnya Iban, Orang Ulu, dan Penan, tanah ialah jiwa dan raga mereka. Tanpa tanah mereka akan mati.

Seperti pilihan raya yang lepas-lepas, dalam pilihan raya negeri ke-11 ini, isu NCR akan terus dieksploitasikan pembangkang di kawasan luar bandar dan pedalaman di kawasan majoriti Iban dan Orang Ulu.

Calon BN di Murun Chuck Pai Ugon misalnya, yang berdepan dalam pertandingan empat penjuru dengan DAP, PKR dan Bebas tentu perlu mengambil masa untuk menepis isu berkenaan dalam kempennya.

Meski kerajaan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memperuntukkan puluhan juta ringgit untuk menguruskan hal ini, membuktikan komitmennya, namun seolah-olah isu ini masih belum selesai.

Tanah lebih daripada sekadar tempat untuk bercucuk tanam, tetapi umpama bank, pejabat dan pasar raya bagi warga kota.

Jadi, apabila tanah NCR mereka diceroboh dan diberi secara tidak sah dan tidak adil kepada pihak tertentu, termasuk individu dan syarikat gergasi untuk tujuan perladangan kelapa sawit dan pembalakan, dapat dibayangkan tindakan pemiliknya. Mereka akan menegakkan prinsip, biar putih tulang jangan putih mata.

Itulah sebabnya kita pernah mendengar bagaimana penghuni rumah panjang menentang habis habisan usaha pihak terbabit menceroboh kawasan tanah mereka. Malah, kaum Penan pernah menghalang syarikat balak daripada meneruskan aktiviti pembalakan dengan sanggup menggadaikan nyawa mereka.

Rakyat Sarawak secara tradisi mempunyai hak untuk menggunakan tanah dengan mengamalkan adat resam mereka sejak turun-temurun lagi.

Mengikut Kanun Tanah Sarawak 1957, tanah adat Bumiputra memang diakui. Walaupun undang-undang mengakui hak tanah adat Bumiputra, namun tindakan yang diambil terhadap tanah terbabit membuktikan seolah-olah pemiliknya tidak mempunyai hak.

Keadaan inilah yang menyebabkan rakyat marah dan kecewa terhadap kerajaan sehingga mengambil tindakan untuk tidak menyokong  BN dalam pilihan raya. Tindakan itu dianggap oleh mereka sebagai wajar dalam keadaan kerajaan dipersepsi tidak prihatin terhadap nasib mereka. Mereka memprotes melalui peti undi bagi menyedarkan kerajaan betapa pentingnya tanah berkenaan diserahkan kepada mereka.

Masyarakat terkeliru dengan tafsiran yang menyatakan bahawa hak tanah adat hanya terdiri daripada tanah yang telah diusahakan sahaja.

Mengikut adat resam masyarakat Dayak, misalnya setiap ahli di dalam sesebuah komuniti mempunyai hak untuk menggunakan semua tanah ‘temuda’, hutan sekeliling dan saliran air di kawasan mereka.

Adat mengenai tanah terbabit menjamin hak individu atau ahli keluarga komuniti terbabit menggunakan tanah dan hasil  hutan. Mereka berhak membuka kawasan tanah yang baharu di dalam sempadan atau ‘pemakai menoa’ mereka.

Oleh sebab masyarakat Bumiputera menetap di tanah mereka sejak beberapa generasi, maka hak mereka diakui oleh undang-undang.

Tanah hak adat masyarakat meliputi tanah ‘temuda’ terdiri daripada tanah yang ditanam dengan tanaman dan tanah yang dahulunya ditanam tetapi kemudiannya ditinggalkan mengikut kitaran  penanaman. Mereka bergantung kepadanya untuk kehidupan harian seperti memburu, mendapatkan bahan-bahan binaan dan kraf tangan, ubat-ubatan dan sebagainya.

Jaminan pemilikan NCR kepada rakyat Sarawak merupakan bukti jelas keprihatinan Perdana Menteri terhadap masalah dan rungutan rakyat Sarawak selama ini.

Beliau sedar, isu ini tidak harus dibiarkan berlarutan – satu lagi bukti bahawa sebenarnya telinga beliau sentiasa mendengar suara dan rungutan masyarakat akar umbi, termasuk masyarakat minoriti di Sarawak.

Pihak parti pembangkang sedar bahawa jika dimanipulasikan dengan betul, inilah isu yang mudah menarik minat pengundi dan rakyat di luar bandar.

Hakikatnya, memang berlaku kejadian NCR milik rakyat diserahkan oleh pihak kerajaan kepada syarikat gergasi, individu dan kroni. Rakyat yang memohon untuk mendapatkan tanah berkenaan bertahun-tahun begitu sukar mendapatkannya, tetapi rakyat beranggapan dan mempunyai persepsi, begitu mudah pula pihak kerajaan menyerahkannya kepada pihak tertentu untuk tujuan perladangan.

Persepsi demikian tidak banyak membantu kerajaan yang dipersepsi tidak adil dan memihak kepada syarikat gergasi.

Seminar mengenai tanah adat berkali-kali dianjurkan di Sarawak, termasuk membabitkan Suhakam pada 2005.Dalam kenyataan yang dikeluarkan peserta Bumiputera terbabit dinyatakan bagaimana tanah adat mereka diceroboh syarikat swasta yang menjalankan aktviti pembalakan, perladangan komersial secara besar-besaran dan pembangunan lain tanpa terlebih dahulu meminta izin daripada mereka.

Perbuatan berkenaan sebenarnya melanggar adat resam, budaya dan tatasusila masyarakat, sekali gus mencabuli hak NCR mereka, terutama tanah yang dikategorikan ‘pulau’ dan ‘pemakai menoa’. Malah,  terjadi kerosakan dan pencemaran yang teruk apabila tanah runtuh berlaku, air sungai menjadi keruh dan cetek sehingga menjejaskan sumber makanan.

Dalam keadaan demikian, konflik tajam berlaku antara pemiliknya dan kerajaan negeri. Sekitar 200 kes membabitkan NCR di mahkamah ialah bukti jelas, dengan sebahagian daripadanya memihak kepada pemilik tanah yang mengemukakan saman.

Keluasan Sarawak adalah sebesar Semenanjung. Rakyat mengharapkan kerajaan yang penyayang dan prihatin dengan memberi tanah kepada mereka yang berhak.

Inisiatif yang diambil oleh kerajaan pusat dan negeri itu merupakan langkah konkrit untuk menyelesaikan isu berkenaan agar tidak lagi menjadi isu hangat dan kontroversi.

Yang lebih penting, tempoh yang diambil untuk mengukur tanah dan menyelesaikan isu terbabit tidak harus terlalu lama. Jika tidak, rakyat akan menganggap kerajaan tidak jujur dan sengaja mengumumkan inisiatif ini hanya untuk memujuk dan meredakan kemarahan mereka menjelang pilihan raya negeri akan datang. – Sarawakvoice.com