SERIAN: Daripada lapan kerusi majoriti Bidayuh dari Bau, Samarahan hingga ke Serian, Mambong dikategorikan sebagai hitam dan bermasalah bagi Barisan Nasional (BN).

Penampilan bekas Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak yang juga Adun Bengoh, Datuk Dr. Jerip Susil sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) dianggap mengundang masalah tersendiri.

dap mambongKerusi itu akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan Parti Keadilan Rakyat mengemukakan ayam tambatannya, Willie Mongin dan DAP melalui Sanjan Daik.

Mambong merupakan satu daripada enam kerusi kedua-dua parti komponen Pakatan Harapan,DAP dan PKR bertelagah, dengan masing-masing mendakwa punya pengaruh.

Sanjan, 55, berasal dari Kampung Bunuk, Pedawan, memiliki Ijazah Sarjana Pendidikan (TESL) dari UTM, menyifatkan dirinya sebagai pejuang.

Menyertai DAP pada awal Januari 2015, beliau mendakwa dapat meraih 80 peratus undi pengundi Cina, 30 peratus undi Bumiputera, dan 50 peratus undi Melayu.

Mambong sebenarnya ialah kerusi baharu susulan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun lalu.

Kerusi Mambong mempunyai sekitar 16,000 pengundi dengan 70 peratus pengundi Bidayuh.
Isu yang bakal diperjuangkannya ialah masalah tanah NCR yang didakwanya belum selesai, bekalan elektrik, air terawat, jalan raya, kegiatan ekonomi dan perkhidmatan telekomunikasi dan internet.

Beliau juga akan menggunakan isu Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) yang diakuinya memberi kesan besar kepada pengundi di kawasan itu.

“Saya mempunyai tahap keyakinan 80 peratus untuk menang di kerusi ini,” kata mantan pensyarah di Institut Pendidikan Guru ini, yang turut melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

Katanya: “DAP adalah satu-satunya parti yang berani perjuangkan hak rakyat, menentang dasar-dasar zalim BN seperti GST, melawan rasuah dan sentiasa prihatin masalah rakyat.”

Dr. Jerip dianggap masyarakat Bidayuh sebagai pemimpin yang terlalu kerap melompat parti.

Pada 1996, Jerip bertanding sebagai calon Bebas dan tewas tipis kepada Datuk William Tanyuh yang mewakili SUPP.

Namun, doktor perubatan itu memenangi kerusi Dun berkenaan tiga kali sejak 2001 atas tiket SUPP. Kemudian beliau berserta dua lagi wakil Adun SUPP, Ranum Mina (Opar) dan Johnical Rayong (Engkilili) keluar dari parti tertua Sarawak itu pada 2014.

Mereka bersama-sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh menubuhkan sebuah parti baharu, Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Pertandingan sebenar dijangka antara Jerip dengan Willie, memandangkan Jerip merupakan penyandang yang menang atas tiket SUPP pada 2011.

Willie telah bertanding untuk kali ketiga di Mambong iaitu pada 2011 atas tiket PKR, tetapi tewas kepada Jerip sebagai penyandang. Pada PRU-13, dia kalah kepada Datuk Seri James Dawos Mamit.

Jerip telah bertanding di kawasan Bengoh pada 1996, menentang calon SUPP, tetapi tewas kepada mendiang William Tanyoh ak Nub. Pada 1998 sekali lagi dia bertanding untuk kerusi Parlimen P19 Mambong, tetapi kalah kepada calon langsung BN Dawos Mamit.

Namun, pada 2001 Jerip dipilih oleh SUPP untuk bertanding pada pilihan raya negeri. Beliau turut bertanding pada 2006 dan 2011 dan menang kedua-duanya atas tiket SUPP. Apabila menang pada 2011, dia dilantik menjadi Menteri Muda Kesihatan Awam.

Menurut Dawos Mamit dalam kenyataan dalam media baru-baru ini, kerusi itu sepatutnya diserahkan kepada SUPP atau PBB kerana kedua-dua parti terbabit mempunyai ahli yang ramai, dan ini membolehkan BN menang.

Menjelang keputusan dibuat Ketua Menteri dari segi agihan kerusi dan calon, beberapa minggu lalu, terdapat iklan dengan slogan ‘What’s Ours is Ours, Safeguard Sarawak’ dengan catatan N 19 Mambong Kawasan SUPP, “Yang kepunyaan kita tetap milik kita” dipasang di beberapa lokasi strategik di kawasan berkenaan.

Kata-kata tersebut membayangkan bagaimana parti tertua Sarawak itu memang ingin mendaftarkan keazaman mereka untuk diberi kerusi itu, dan bukannya kepada UPP yang mereka anggap sebagai bukan parti komponen BN.

Wajah Cr Ahkim Sarok, dengan kata-kata “Bakal Calon BN-SUPP N 19 Mambong”, tertera bersama-sama lambang dacing dan lambang SUPP, memberi gambaran komitmen SUPP untuk memastikan kawasan majoriti Bidayuh itu diserahkan kepadanya.

Akhir tahun lalu, Presiden SUPP, Senator Datuk Profesor Dr. Sim Kui Hian menegaskan, tidak akan melepaskan kerusi Mambong dan Serembu.

Keupayaan Jerip untuk mempertahankan kerusi itu banyak bergantung kepada pengundi Bidayuh yang masih setia kepada BN walau dirinya terpalit imej sebagai ahli politik yang sering melompat parti. – Sarawakvoice.com