Friday, August 12, 2022

Adenan janji lebih banyak pengumuman mesra rakyat, enggan ulas spekulasi calon pengganti

Secara Rawak

KUCHING:  Ketua Menteri Tan Sri Adenan Haji Satem malam tadi mengesahkan akan ada banyak lagi pengumuman “mesra rakyat” selepas ini, bagi meringankan beban rakyat.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak akan membuat sebarang pengumuman sehingga rakyat memberi mandat lima tahun lagi kepadanya selepas  Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 pada 7 Mei ini.

“Saya berhenti setakat 53 pengumuman sebagai mengingati 53 tahun Sarawak membentuk Malaysia,” katanya dengan nada seloroh pada Majlis Bersama Pengamal  Media di Dewan Undangan Negeri Sarawak (Lama) dekat sini malam tadi.

Pertemuan yang dihadiri lebih 100 wartawan media elektronik, cetak dan sosial dari dalam dan luar negeri itu merupakan yang pertama seumpamanya dengan semua pengamal media diberi kelonggaran dan kebebasan untuk melontarkan apa jua soalan.

Malah para wartawan diminta duduk bersila di hadapannya umpama murid tadika mendengar guru sedang bercerita.

Berkaitan keadaan kesihatannya, Adenan mengulangi bahawa beliau sekarang berada dalam keadaan lebih sihat selepas “hampir bertemu maut” di IJN (Institut Jantung Negara) beberapa tahun lalu, ketika berusia 69 tahun.

“Tetapi Allah maha besar…di sinilah saya sekarang. Saya rasa ia merupakan mesej dan isyarat yang saya perlu berkhidmat dan melakukan sesuatu untuk Sarawak.

“Kerana itu saya diberikan bonus ini,” katanya dengan wajah yang cukup insaf sambil jemarinya mengurut paha. Adenan jelas melontar ayat daripada hati dengan nada yang tenang.

Ditanya tentang keselesaannya untuk berhadapan dengan pilihan raya ini,  lelaki berusia 74 tahun itu menjelaskan dia kini dapat tidur nyenyak umpama bayi yang sedang lena.

“Terutamanya setelah isu calon selesai. Ya, saya mengakui sebelum senarai calon dimuktamadkan saya agak risau,” ujarnya.

Namun menjawab soalan adakah ini petanda beliau yakin akan kemenangan besar yang bakal diraih, Adenan berkata beliau tidak mahu dilihat sebagai bercakap besar.

Ditanya apakah pilihan raya adalah untuk menentukan siapa bakal penggantinya, Adenan menepis soalan itu dengan alasan tidak mahu fokus kepada pilihan raya ini terganggu oleh spekulasi siapa yang bakal dilantik dalam senarai kabinetnya kelak.

“Biar kita fokus kepada pilihan raya ini dahulu. Jangan langkauinya.

Beliau juga secara bijak menepis asakan bertalu berkaitan ramalan berapa kerusi yang bakal dimenangi BN Sarawak pada PRN kali ini.

Adenan, sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima bakal mengesahkan mandatnya dengan bertanding di Dun Tanjung Datu pada 7 Mei ini selain memimpin pilihan raya negeri pertamanya sebagai Pengerusi BN Sarawak.

Pagi semalam beliau melancarkan dengan gaya “ahli silap mata’ manifesto “pasukan Adenan” dengan tema “Beri Peluang Kepada TeamAdenan”.

Manifesto yang dicetak dalam empat bahasa setebal 20 halaman ini membariskan 15 agenda BN Sarawak, terutama dalam menegakkan hak Sarawak dan rakyat hingga kepada melakukan transformasi luar bandar dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru