Saturday, September 24, 2022

Zahid kagumi formula calon langsung BN

Secara Rawak

PAKAN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memuji pendekatan “calon langsung Barisan Nasional (BN)” pada Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN) yang dianggapnya sebagai unik dan luar biasa.

Katanya, formula itu tidak dilaksanakan di mana-mana negara, dan Sarawak mencipta sejarah tersendiri dengan menjadi pelopornya.

“Formula ini membolehkan BN Sarawak mengekalkan kekuatan dan memastikan kemenangan besar pada 7 Mei ini,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang George Chungot, Nanga Nansang, di sini.

Formula calon langsung BN mula dilaksanakan di Sarawak sejak beberapa penggal pilihan raya lalu bagi menangani krisis yang melibatkan calon-calon berpotensi menang dengan parti yang diwakili.

zahid hamidi rumah panjang

Pilihan raya kali ini menyaksikan 13 calon langsung ditampilkan BN — jumlah terbesar dalam sejarah parti tersebut dalam menghadapi pilihan raya.

“Walaupun sudah memiliki empat parti komponen, BN Sarawak tetap menampilkan calon mampu menang, dengan memilih calon dalam kalangan parti yang mesra BN dan berteraskan semangat BN,” katanya.

Lebih mengagumkan Ahmad Zahid, calon-calon langsung ini sanggup melepaskan jawatan penting dalam parti asal mereka atas prinsip dan semangat BN untuk berbakti kepada rakyat.

13 calon langsung BN ialah Ranum Mina (Dun Opar), Miro Simuh (Dun Serembu), Datuk Dr. Jerip Susil (Dun Mambong), John Ilus (Dun Bukit Semuja), Dr Johnical Rayong (Dun Engkelili) dan Tan Sri William Mawan Ikom (Dun Pakan).

Turut tersenarai Datuk Tiong Thai King (Dun Dudong), Datuk Seri Wong Soon Koh (Dun Bawang Assan), Datin Janet Lau (Dun Pelawan), Rosey Yunus (Bekenu), Datuk Hii Kiing Chiong (Pujut), Datuk Garawat Gala (Mulu) dan Paulus Palu Gumbang (Batu Danau). – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru