Sunday, September 25, 2022

PKR berkelahi sesama sendiri, hantar mesej salah kepada pengundi

Secara Rawak

KUCHING: Meski sudah cuba mencari jalan penyelesaian untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri sejak beberapa bulan lalu, akhirnya wajah sebenar dua parti komponen Pakatan Harapan, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terserlah di enam pusat penamaan calon semalam.

Sehingga jam-jam terakhir pemimpin parti yang menyimpan hajat untuk menang lebih besar dalam pilihan raya ini, berbanding 13 dalam pilihan raya 2011, gagal mencari titik pertemuan.

Kesudahannya, mereka bertembung di enam kerusi Dayak. Kali ini DAP bertanding di 31 kerusi, dengan 14 majoriti Cina, 16 kerusi Dayak dan satu kerusi majoriti Melayu. PKR pula bertanding di 40 kerusi.

Ada pihak sudah membayangkan kemungkinan yang bakal berlaku dalam pilihan raya umum ke-14 nanti, dengan benih-benih awal tidak akan dapat dibunuh selagi ketamakan dan sikap mengutamakan diri menonjol, tanpa mengutamakan kepentingan pengundi dan rakyat. Atau kepentingan masa depan Pakatan Harapan.

Perbalahan berkenaan menghantar mesej negatif bukan sahaja kepada penyokong parti, tetapi kepada rakyat. Pertindihan kerusi memungkinkan calon BN meraih manfaat pada 7 Mei, dan pasti akan dieksploitasikan BN dalam kempen berbaki 11 hari lagi, kata banyak pemerhati politik di sini.

Dengan kedua-dua parti sanggup menyerang dan mempertahankan diri, watak sebenar mereka semakin terserlah kepada tontonan ramai.

Bagaimana mungkin mereka dapat menguruskan negeri dan negara dengan baik jika soal agihan kerusi pun mereka gagal leraikan?

PKR dan DAP bertembung dan berkelahi sesama sendiri di  Mambong, Simanggang, Murum, Mulu, Ngemah dan Batu Kitang.

Tepat sekali komen Datuk Seri Najib Razak, yang juga pengerusi BN dan juga perdana menteri di Lundu semalam, ia memperagakan kelemahan Pakatan Harapan dari segi menjalinkan kerjasama.

Timbalan presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali boleh sahaja memberi pelbagai alasan atau menggunakan pelbagai istilah termasuk autonomi kepada PKR Sarawak untuk menentukan keputusan, tetapi pengundi tidak melihat demikian.

Begitu juga Lim Kit Siang dari DAP, boleh sahaja menggunakannya sebagai pertandingan mesra. Pertandingan mesra yang tentunya hanya menguntungkan BN, dan merugikan Pakatan Harapan. – Sarawakvoice.com

Apa Kata Kolumnis?

BN ketawa, pengundi terasa, Pakatan Harapan berbalah hampa? – Dr Awang Azman Awang Pawi

DAP’s unfriendly act against PKR Sarawak – David Isaiah

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru