Sunday, September 25, 2022

Kejutan Watson Bangau cemaskan Soon Koh, bakal hilang undi Bumiputera

Secara Rawak

SIBU: Pasti ada yang tersirat di sebalik tindakan bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang juga Pengerusi PBB Cawangan Bawang Assan, Watson Bangau memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas semalam.

Watson, 59 tahun, yang merupakan ahli Majlis Tertinggi sayap Pesaka parti itu membuat kejutan pagi semalam hingga mendorong Setiausaha Agung PBB, Datuk Dr Stephen Rundi Utom mengumumkan beliau dipecat serta merta kerana melanggar peraturan sebagai ahli PBB — bertanding menentang calon BN.

Sebagai seorang peguam, juga pemimpin yang begitu panjang pengalamannya dalam politik, Bangau sememangnya memahami risiko yang bakal dihadapinya menerusi tindakan itu.

“Beliau tahu beliau akan dipecat. Tetapi beliau juga tahu beliau berpotensi menang di kerusi tersebut.

“Ia pertimbangan bijak apatah lagi selepas Watson tidak lagi bertanggungjawab kepada Ketua Menteri, selain tidak mungkin menjadi calon kerana kerusi tersebut akan terus didominasi calon berbangsa Cina; baik SUPP mahupun UPP,” kata seorang pemerhati politik tempatan.

Umum mengetahui bahawa Bangau merupakan antara tokoh yang disegani dalam kalangan masyarakat Iban, dan pemimpin Iban sendiri.

“Justeru apabila beliau mencalonkan diri untuk kerusi tersebut, Bangau sebenarnya memiliki kelebihan yang besar untuk memperoleh undi Bumiputera, apatah lagi empat calon lain bersaing hebat memenangi hati sekitar 10,100 pengundi Cina.

Yang jelas, kehadiran Bangau begitu mengejutkan calon langsung BN, Datuk Seri Wong Soon Koh yang mempertahankan jawatannya.

“Saya memang menyangka akan wujud saingan sengit, cuma saya agak terkejut ia datang daripada rakan saya sendiri yang menjadi ketua PBB di sini.

“Saya mengenali Watson. Beliau berasal daripada keluarga yang agak dikenali di Bawang Assan.

Tetapi calon berusia 74 tahun itu optimis dengan menambah, beliau meraikan saingan ini sebagai salah satu daripada proses demokrasi yang matang.

“Saya yakin akan mempertahankan kerusi Bawang Assan kerana merupakan sebahagian daripada Tim Adenan.

“Saya berharap akan dapat meningkatkan jumlah majoriti walaupun kini perlawanan berlangsung dalam lima penjuru. Bagi saya, semakin ramai, makin meriahlah suasana pilihan raya ini,” katanya.

Dun Bawang Assan semalam menyaksikan saingan lima penjuru yang turut disertai calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Parti Reformasi Negeri (STAR), dan seorang lagi calon Bebas.

DAP diwakili Chiew Sung Ngie manakala STAR menampilkan Wong Sing Wei.

Calon Bebas yang lain ialah Yeu Bang Keng atau sebagai Beng Khor — aktivis Sarawak for Sarawakian, S4S, individu yang kini dalam kes mahkamah kerana mengugut untuk mencederakan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Pada tahun 2011, Soon Koh mengekalkan kerusi ini dengan menewaskan calon DAP, Alice Lau Kiong Yieng dengan majoriti 1808 undi. Soon Koh mengutip 7,316 atau 56.6% peratus undi manakala Alice Lau 5,508 undi.

Seramai 18, 340 pengundi berdaftar layak melakukan pangkahan undi di kerusi ini dengan 55.1 peratus daripadanya adalah pengundi Cina.

Daripada jumlah tersebut, hanya empat pemilih adalah pengundi awal manakala jumlah pengundi perempuan adalah sekitar 51.04 peratus atau 9,360 orang. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru