Tuesday, December 6, 2022

Air mata Fazzrudin serap amanat bapa sebelum menjadi calon Dun Tupong

Secara Rawak

KUCHING: Entah apa yang dibisikkan oleh pesara polis, Abdul Rahman Ebon, 66 tahun kepada anaknya Fazzrudin Abdul Rahman, hingga beliau menitiskan air mata semalam sebelum turun ke gelanggang penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Petra Jaya pagi semalam.

IMG_1317

Yang jelas, Fazzrudin, 41 tahun, yang merupakan anak kedua daripada lima beradik diingatkan oleh bapanya yang menyarung jubah dan bersongkok putih pagi itu akan tanggungjawab berat yang bakal membahunya sebaik menurunkan tandatangan dan menyerahkan borang penamaan mewakili Barisan Nasional.

Ditemani oleh isteri, Norazlin Sapawi, 41 tahun, sahabat handai dan anggota keluarga, Fazzrudin yang menggantikan Datuk Haji Daud Abdul Rahman diiringi Ketua Pemuda BN Pusat, Khairy Jamaluddin melangkah tenang ke pusat penamaan calon, sambil diiringi tempik sorak dan kibaran bendera penyokong setia.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya itu merupakan eksekutif di DUBS Holdings Sdn Bhd, anak syarikat Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak sebelum dilantik Setiausaha Sulit Fadillah, setelah beliau memenangi kerusi Parlimen Petra Jaya.

gerakan penamaan calon 9

Dikaitkan dengan “20 dalil” untuk menjatuhkannya apabila namanya dicanang sebagai calon pengganti Daud, Fazzrudin yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda PBB Negeri tidak gelabah, malah dengan yakin enggan melayan tuduhan tidak berasas ala Khalid Jafri itu.

Sebaliknya katanya, beliau perlu tenang dan fokus untuk memastikan pembangunan dan khidmat kebajikan warga Tupong tidak terabai.

Sebagai muka baharu BN, Fazzrudin akan berhadapan cabaran satu lawan satu dengan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Nurhanim Hanna Mokhsen.

Hanim, 45 tahun merupakan graduan University of South Australia dalam bidang pelancongan dan hospitaliti.

Dengan perwatakan yang mudah tersenyum dan sentiasa bersedia untuk berkhidmat, Hanim tidak kurang hebat. Beliau merupakan seorang yang bersifat terbuka dengan apa jua keadaan.

Baginya, pertembungan dengan Fazzrudin sememangnya telah dijangka dan dua sahabat ini akan memastikan kempen mereka berlangsung profesional dan matang.

Dewan Undangan Negeri Tupong mempunyai 21,499 pemilih berdaftar, sedikit mengecil selepas persempadanan semula DUN Sarawak.

Daripada jumlah itu, 71 orang adalah pengundi awal, dengan 50.77 peratus pula adalah pemilih perempuan.

Pada pilihan raya negeri 2011, kerusi Dun Tupong telah dimenangi Datuk Ir Daud Abdul Rahman dengan majoriti 4,551 undi, setelah mengutip 8,304 undi bagi menewaskan Baharuddin @ Din Shah Mokhsen, abang Nurhanim yang juga daripada PKR yang mencatat 3,753 undi.

Pada penghujung tahun lalu, Daud mengalami stroke ringan, yang menyebabkan pertuturannya sedikit terganggu. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru