Sunday, August 14, 2022

Star pergunakan “Sarawak for Sarawakians” untuk pancing undi

Secara Rawak

KUCHING: Meskipun mengisytiharkan hanya mempunyai RM1,300 dalam akaun bank, tetapi itu tidak mematahkan semangat  State Reform Party (Star) untuk turun ke gelanggang dengan menampilkan 12 orang calon menggunakan slogan politik “Sarawak for Sarawakians (S4S)”

Sebelas orang daripada mereka ialah muka baharu, termasuk dua wanita, iaitu Priscilla Lau (Pelawan) dan Mary Ting Yiik Hong (Dudong).

Calonnya Mura Kadir akan menentang Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem di Tanjung Datu meski menyedari peluangnya untuk memenangi kerusi itu adalah amat tipis.

bdbfff14-30db-410c-bf12-0157a958ad8e
Mura Kadir (kiri) , Lina Soo (tengah)

“Ini merupakan jumlah paling besar dan kuat yang dapat dikumpulkan parti sejak didaftarkan pada 1996,” katanya, dengan mengingatkan usah memperkecil peluang parti pimpinannya itu memenangi kerusi pada 7 Mei ini.

Penganalisis politik percaya, parti yang bagai bangkit semula daripada pertapaan yang lama di dalam gua itu tidak akan mempunyai harapan untuk memenangi sebarang kerusi, kerana jentera akar umbi yang lemah, keraguan terhadap keupayaan calon, dan kerana ia bertembung di kerusi yang tidak memungkinkannya menang.

Mengakui bahawa parti itu telah tidak begitu aktif kecuali menjelang minggu-minggu terakhir menjelang pilihan raya, Soo berkata di bawah kepemimpinannya, beliau mahu parti itu menjadi pembangkang utama di Sarawak.

Pada Pilihan Raya Umum lalu, Star mencuba nasib di tujuh kerusi Parlimen, tetapi semua kecundang.

Bertekad untuk memenangi kerusi terbabit, presiden yang baharu dipilih, Lina Soo berkata manifesto parti akan mengadunkan aspirasi rakyat Sarawak, dengan memberi tumpuan kepada hak dan autonomi Sarawak sebagaimana termaktub dalam Perjanjian 18 Perkara,  Perjanjian Malaysia dan Laporan Jawatankuasa Antara kerajaan (IGC) menjelang pembentukan Malaysia pada 1963.

Star kelihatannya bersikap pragmatik dengan memahami aspirasi dan sentimen 1.13 juta pengundi yang serasi dengan perjuangan tentang autonomi Sarawak.

Dalam pilihan raya ke-11, selain memanfaatkan populariti Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, dijangka parti komponen Barisan Nasional akan menggunakan slogan dan tema autonomi dan hak Sarawak.

Dalam pertemuan dengan media di sini semalam, Soo berkata, Sarawak bukan 13 daripada negeri di negara ini, tetapi tiga, bersama-sama Semenanjung dan Sabah. Singapura telah dikeluarkan dari persekutuan pada 9 Ogos 1965.

Perjuangan Star tidak jauh berbeza daripada tuntutan dan tindakan yang diambil Adenan sejak menerajui Sarawak pada Februari 2014. Mengulas lanjut Soo berkata, Star antara lain, mahu menuntut autonomi dari segi mengutip cukai, penurunan kuasa dari segi pentadbiran, kecuali bagi kuasa berkaitan pertahanan dan hal ehwal luar yang kekal di bawah kerajaan persekutuan.

Bagi Soo, kerajaan persekutuan perlu menghormati Borneonisasi dari segi perkhidmatan awam dihormati seperti yang terkandung dalam Laporan IGC. – Sarawakvoice.com

STAR flag

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru