MIRI:  Dengan kurang daripada 30 jam lagi untuk proses penamaan calon, dan lima kerusi masih lagi menjadi perebutan sehingga memungkinkan berlaku pertembungan sesama sendiri, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), tiada pilihan melainkan perlu mengambil tindakan tegas dan pasti walaupun pahit.

Menyedari risiko yang bakal ditanggung Pakatan Harapan jika tiada kesudahan bagi episod itu, pemimpin veteran DAP berharap agar parti terbabit dapat mengulang kerjasama dan perpaduan jitu pada 2011.

Pada pilihan raya itu, DAP, PKR dan PAS, berjaya menentang calon BN satu lawan satu, dan untuk pertama kali memastikan tiada calon BN menang percuma tanpa bertanding.

Kesatuan berkenaan membolehkannya memenangi 15 kerusi, 13 kerusi majoriti Cina di bandar dan dua kerusi luar bandar, Ba Kelalan dan Krian.

Lima kerusi yang gagal dikompromi ialah Mambong (Bidayuh), Bukit Semuja (Bidayuh) Simanggang (Iban), Murum (Orang Ulu), dan Mulu (Orang Ulu).

Pakatan Harapan bakal rugi jika kedua-duanya bertembung sesama sendiri sehingga memberi kelebihan kepada BN dalam pertandingan tiga atau empat penjuru ketika segala sumber dan tenaga ketika kempen 12 hari diberikan untuk menumbangkan calon BN di kawasan terbabit.

Kegagalan berkompromi, kata penganalisis, akan dieksploitasikan oleh BN, betapa Pakatan Harapan gagal bekerjasama.

Ahli Parlimen Gelang Patah dalam ceramah prapilihan raya di sini semalam, berharap demi kepentingan politik masa depan, bukan sahaja untuk Sarawak tetapi Malaysia, Pakatan Harapan dapat bersemuka dengan BN sebagai satu pasukan padu dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-11.

Dalam usaha untuk memberi imej dan gambaran baik, Lim berkata, kedua-dua parti terbabit perlu saling membantu dan bekerjasama ketika berkempen dengan pekerja dan penyokong PKR memberi kerjasama dan sokongan di kerusi ditandingi calon DAP, dan begitulah sebaliknya.

“Dengan itu, kita dapat menghantar mesej jelas dan tegas, bahawa Pakatan Harapan memperlihatkan kesatuan, keteguhan dan perpaduan jitu dalam iltizamnya untuk membawa perubahan politik di negara ini,” katanya.

DAP akan bertanding di 30 kerusi, termasuk di Bukit Goram selepas Larry Sng dari Parti Pekerja Sarawak (SWP) berundur sebagai presiden dan tidak lagi mahu bertarung di kerusi baharu di Kapit itu.

Pada 7 Mei, 82 kerusi akan dipertandingkan, termasuk 11 kerusi baharu selepas persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tahun lalu. – Sarawakvoice.com