BALINGIAN: Jika  Barisan Nasional (BN) pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menang besar pada pilihan raya negeri akan datang, kerajaan persekutuan berjanji  menyalurkan lebih banyak peruntukan bagi membangunkan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan persekutuan akan terus membangunkan Sarawak, dan ini dapat direalisasikan melalui hubungan baik antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan, dan juga antara Adenan dengan Perdana Menteri Dartuk Seri Najib Razak.

“Saya akan membantu dari segi peruntukan untuk terus membangunkan Sarawak kalau beliau dapat undi yang banyak,” kata beliau.

Zahid  berkata demikian ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Masjid, Balingian, semalam.

Kerusi Balingian akan diwakili  calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Yakub Arbi di sebalik kontroversi sepatutnya calon wanita, Faridah Othman ditampilkan mewakili kerusi majoriti Melanau itu.

Penyandang kerusi Balingian Yussibnosh Balo berpindah ke kerusi baharu Tellian, tempat kelahiran beliau.

Dijangka akan berlaku pertandingan sekurang-kurang tiga penjuru antara BN, Amanah dan calon Bebas. Amanah malam Khamis mengumumkan calon wanita Nurzaiti binti Hamdan mewakilinya.

Isu berkaitan calon BN pasti dieksploitasikan pembangkang, dengan para penyokong Sulaiman Sahari, seorang calon berpotensi dan diuar-uarkan  sebelum nama Yakub diumumkan Adenan, dijangka turut menunjukkan kekecewaan mereka melalui undi protes.

Namun, meskipun nama Faridah sudah diumumkan oleh Ketua Menteri di satu majlis di Kuching, akhirnya nama beliau digugurkan, sekali gus menyebabkan tiada calon wanita muka baharu mewakili PBB kali ini.

Faridah, sebaliknya dilantik sebagai setiausaha politik Ketua Menteri, dalam apa yang dilihat sebagai satu kompromi, apatah lagi beliau dikatakan telah meletakkan jawatan sebagai pegawai daripada jawatannya.

Zahid  turut berjanji menyelesaikan masalah bekalan air bersih, sistem perparitan yang lebih baik, pembinaan jalan raya dan sebuah sekolah menengah yang dijanjikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pilihan raya umum 2013 dan pilihan raya kecil Balingian pada 2014.

Satu lagi janji yang dibuat  kerajaan melalui Muhyiddin adalah untuk membina Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Tellian yang telah dijanjikan sejak 2003 lagi.

Pilihan raya silih berganti, janji  tetap belum dikotakan.

Bagi penduduk di sini, GST sudah berubah makna menjadi “Gaan Sekul Tellian?”, yang dalam bahasa Melanau bermaksud, “Di mana sekolah Tellian?”

Namun, penganalisis  politik yang mengikuti pola pengundian dan sentimen pengundi di kawasan sekitar 70 peratus pengundi Melanau itu yakin bahawa walaupun berdepan kempen negatif, Yakub akan menang di kerusi berkenaan.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu bernilai RM32.2 juta, Zahid berkata, masyarakat bandar perlu menghargai segala usaha kerajaan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada mereka. Caranya, dengan memberi sokongan kepada calon-calon BN pada 7 Mei.

Zahid berkata, masyarakat bandar menikmati banyak kemudahan yang lebih baik daripada kerajaan.

Kata Zahid: “Saya menyeru, dalam pilihan raya negeri akan datang, masyarakat bandar mengetepikan sikap negatif terhadap kerajaan.” – Sarawakvoice.com