Bagi SUPP dan UPP, dibunuh atau membunuh

0
107

KUCHING: Pertelagahan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang sudah berlarutan selama lebih dua tahun dengan Parti Rakyat Bersatu (UPP), kelihatan tidak berpenghujung.

Menjelang hari penamaan calon Isnin, perbalahan antara parti tertua Sarawak dengan parti serpihan semakin  getir dan sengit, dengan wajah hodoh politik semakin menyerlah.

Tikam-menikam dan serang-menyerang yang sudah berlaku sekian lama, akan berakhir dengan kedua-duanya sabotaj-mensabotaj, dengan arus bawah yang semakin menggeleggak, serta sukar dikawal baik Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mahupun Presidennya Datuk Dr Sim Kui Hian.

Khamis, Liu Thian Leon mengisytiharkan keluar dari UPP untuk bertanding sebagai calon Bebas mesra Barisan Nasional di Batu Kawah, menentang Dr Sim.

Ini merupakan kali kedua pakar jantung terkemuka dunia itu mencuba nasib.

Pada 2011, beliau tewas di Pending kepada calon DAP Violet Yong.

SUPP dalam satu kenyataan yang dikeluarkan urus setia serantanya Jumaat berkata, “tidak ada apa yang dipanggil calon Bebas mesra Barisan.”

“Calon Bebas adalah menentang pasukan Adenan,” kata kenyataan itu, yang jelas memperlihatkan pendirian tegasnya.

Pasukan Adenan termasuk 13 calon langsung daripada UPP, dan satu lagi parti serpihan, Teras.

Sebaliknya, bagi Liu, bagi menjustifikasikan tindakannya,  beliau  berkata “kemajuan hanya akan dapat dicapai jika terdapat persaingan.”

Liu berkata, UPP telah memupuk persaingan yang sihat di kerusi majoriti Cina itu melalui usaha dan kerja yang dilakukannya.

Katanya: “Kami telah terbabit dengan rakyat dan memberi perkhidmatan yang sangat diperlukan dalam meningkatkan prasarana dan pembinaan sekolah.”

Bagi beliau, Batu Kawah telah menghadapi monopoli politik yang terlalu lama, dan penduduk kecewa dengan keadaan sekarang.

Liu berjanji mengubah keadaan ekonomi, politik, budaya dan alam sekitar di kawasan berkenaan, melalui moto “Dengan Anda, Untuk Anda dan Untuk Batu Kawah”, serta “Total Leadership, Total Commitment.”

Liu bukan sebarang calon kerana beliau pernah menerajui Persekutuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Kerajaan Cina bagi Bahagian Kuching dan Samarahan sejak 2004.

Meskipun bertanding sebagai calon Bebas, Liu mengisytiharkan dirinya menyokong kepemimpinan dan pasukan Adenan, sesuatu yang bertentangan dengan prinsip dipegang BN. Mana-mana calon yang menang sebagai calon bebas tidak akan diterima masuk sebagai wakil rakyat BN.

Liu mengakui bertanding sebagai calon Bebas merupakan keputusan sukar baginya. Liu telah bergerak di akar umbi sejak setahun setengah lalu, dengan harapan dipilih sebagai calon.

“Saya sedia menjawab panggilan dan aspirasi semua penyokong saya dan rakyat untuk lakukan reformasi dan pembangunan Batu Kawah, serta berazam bergerak ke hadapan dan berusaha hingga berjaya,” katanya.

Strategi berkenaan telah menimbulkan kesan negatif, dengan konflik terus mendidih di peringat bawah, dan ahli SUPP  menyatakan kekecewaan secara terbuka, termasuk calon SUPP Pending Milton Foo yang mengkritik Ketua Menteri Adenan Tan Sri Adenan Satem melalui satu kenyataan terbuka.

Tindakan Liu, bagi penganalisis politik ialah manifestasi terbuka bagaimana jalan yang dipilih oleh UPP, dan penyokong akar umbi masing-masing parti  dalam tempoh kempen 12 hari mulai 25 April hingga 6 Mei.

Hari pengundian adalah pada Sabtu,  7 Mei.

Menjelang senarai tarikh calon dimuktamadkan oleh Adenan minggu lalu, Liu merupakan nama yang dijaja oleh UPP untuk mewakilinya sebagai calon langsung.

“Bunuh atau dibunuh. Bagi UPP, SUPP yang kuat tidak baik untuk mereka, dan begitulah sebaliknya. SUPP yang kuat dan berpengaruh, tidak baik untuk UPP. Mereka mahu SUPP yang lembik, dan bagi SUPP mereka mahu memastikan UPP dibunuh dalam piihan raya ini,” katanya.

Bagi UPP,  kerjaya politik pemimpin utama SUPP perlu dimatikan, dan itulah sebab mereka memilih Batu Kawah sebagai sasaran.

Pada pilihan raya lalu calon DAP Christina Chiew memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 543 undi. Dr Sim beranggapan kerusi marginal ini mempunyai peluang untuk dirampas kembali, tetapi dengan perkembangan terbaharu itu, laluannya tidaklah semudah dijangka.

“Jalan yang bakal ditempuh Dr Sim pasti lebih berliku dan berduri,” kata penganalisis itu lagi.