Adenan isytihar cuti umum 22 Julai, mahu rakyat undi BN untuk pembangunan berterusan

0
75

PETRA JAYA: Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem hari ini mengisytiharkan tarikh 22 Julai sebagai cuti umum negeri Sarawak, bermula tahun ini.

Berucap di hadapan 10 ribu pengunjung Grand Finale Program Sejiwa Senada Bahagian Kuching di Matang Metrocity dekat sini, Adenan berkata, pengumuman itu sebagai menghormati perjuangan generasi dahulu terutamanya para nasionalis yang berkorban jiwa dan raga untuk membebaskan Sarawak daripada penjajahan.

Dalam ucapan 12 minit yang terganggu oleh beberapa kali batuk (kerana menyanyi sebelum itu), Adenan nada serius meminta rakyat negeri ini menghadiahkan kemenangan dengan majoriti lebih besar kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri kali ini.

“Ia amat penting bagi memastikan agenda pembangunan dan sosioekonomi rakyat sentiasa diberikan keutamaan oleh Kerajaan Pusat.

Calon BN untuk Dun Tanjong Datu itu menambah, kemenangan besar kelak juga akan menjadi penyuntik semangat untuk beliau terus memperjuangkan hak dan kepentingan “anak Sarawak”, termasuk menuntut kembali kuasa autonomi negeri ini.

“Ia sebagai simbol bahawa seluruh rakyat berdiri teguh di belakang saya dan menyokong segala perjuangan saya mahu membawa lebih banyak pembangunan ke negeri ini,” tegasnya.

Mandat lebih besar kata Adenan, akan meningkatkan keyakinan beliau untuk terus bersuara…selain berbincang dengan Kuala Lumpur untuk lebih pembangunan di Sarawak pada masa depan.

Katanya, walaupun 53 tindakan mesra rakyat sudah dilaksanakan sepanjang dua tahun mengambil alih kepemimpinan Sarawak, namun masih ada perkara yang belum sempat diselesaikan, terutama yang membabitkan usaha memperkasakan kehidupan rakyat.

“Jika berlaku di Kedah atau Pulau Pinang, saya tidak peduli sebab saya bukan Menteri Besar atau Ketua Menteri mereka. Saya adalah Ketua Menteri Sarawak.

“Saya beri jaminan selagi saya menjadi Ketua Menteri Sarawak, selagi itulah saya tidak berhenti memperjuangkan hak dan kepentingan negeri ini, begitu juga rakyatnya, agar pembangunan dan kemajuan yang kita kecapi setanding dengan negeri lain di Semenanjung,” katanya merujuk kepada beberapa perkara termasuk isu royalti minyak dan gas.

Dengan memberikan mandat kepada `Tim Adenan’ katanya, ia akan membuka pintu kepada banyak perkara dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Malah mandat ini juga perlu kita terjemahkan sebagai `suara’ yang perlu diberikan perhatian oleh kepemimpinan Pusat,” tegasnya.

Adenan berkata, mandat lima tahun itu adalah memadai memandangkan beliau telah berusia 72 tahun.

“Tempoh ini sesuai untuk saya menyelesaikan pelbagai perancangan, selain membolehkan saya menggandakan usaha pembangunan negeri dan sosioekonomi rakyat.

“Saya bukannya `mabuk kuasa’ atau `gila pangkat’ untuk jadi Ketua Menteri selamanya” katanya.

Tempoh lima tahun itu dipercayai diperlukan Adenan untuk merancang pelan peralihan kuasa kepemimpinan negeri yang teratur, termasuk mengenal pasti calon penggantinya.

Penganjuran lapan Program Sejiwa Senada di seluruh Sarawak dipercayai menghimpunkan sehingga 1.5 juta pengunjung. – Sarawakvoice.com