Monday, November 28, 2022

Imbuhan stabil dalam sektor pembantu rumah, belia tempatan patut mencuba

Secara Rawak

KUALA TERENGGANU: “Kerja yang membosankan, tiada masa hadapan dan tiada masa bersosial.”

Ia kata-kata biasa yang dilemparkan bagi menggambarkan situasi kerja sebagai pembantu rumah hingga ia gagal menarik minat ramai golongan muda.

Namun dalam ribuan yang menolak kerja itu, masih ada yang bersedia melakukannya selagi ia mampu memberi pulangan lumayan serta manfaat lain.

Siti Nordira Mat Hassan, 26, dari Kemaman sudah terbiasa dengan tanggapan negatif masyarakat sekeliling sejak menceburi kerja itu tiga tahun lepas dan bersyukur diberi peluang keluar daripada dunia pekerjaan yang hanya ‘cukup makan’ malah tidak pernah berpeluang langsung menabung.

kerja pembantu rumah malaysia

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya pernah bekerja di kedai makan, kedai membuat biskut, pasar raya dan membersih rumah penginapan. Saya memperoleh gaji sekitar RM900. Tapi bila ditolak kos minyak motosikal dan makan minum, gaji yang tinggal cuma berbaki RM400 sahaja.

“Itu belum lagi kos membeli barangan lain termasuk bil telefon. Hendak membantu keluarga pun berkira-kira apatah lagi menabung.”

“Kini saya memperoleh pendapatan bersih hampir RM1,000, kadang-kadang menerima bayaran lebih masa jika majikan ke luar negara. Makan dan penginapan tidak perlu saya fikirkan kerana ia sedia ada dan selesa.

“Selain itu, setahun sekali majikan akan memberi peluang kepada saya untuk memilih tempat percutian dan menyediakan semua kos perbelanjaan, itu belum lagi bonus dan duit raya. Saya tidak memperoleh semua itu sebelum ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Menurut Siti Nordira, ramai yang tidak mengetahui bahawa jika bekerja dengan tekun dan setia, mereka mampu menambat hati majikan malah memperoleh keuntungan berganda berbanding pekerjaan lain.

Wanita warga asing menguasai kerja itu kerana ia ternyata menguntungkan malah mereka mampu membina rumah dan menyara keluarga di negara asal.

“Untuk apa merasa terhina sedangkan ramai rakan seusia saya hanya duduk di rumah sahaja apabila tidak mahu bekerja di pasar raya dan kedai makan. Kerja ini membuka mata saya untuk bertekad membuka pusat jagaan kanak-kanak satu hari nanti.

“Saya bukanlah orang senang, hanya tinggal di kawasan perumahan PPRT. Daripada wang gaji dan dikumpulkan beberapa bulan, saya mampu menyumbang membaiki rumah, membayar penuh pinjaman motosikal yang dahulunya tertunggak dan kini saya mula mengambil lesen kereta,” katanya. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru