KUCHING:  Adakah  perselisihan dan pergolakan yang telah berlarutan  dan isu membabitkan pencalonan antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan Parti Rakyat Bersatu (UPP) menguntungkan DAP di kerusi majoriti Cina di bandar?

Pengerusi DAP Chong Chien Jen mengakui bahawa berbeza daripada pilihan raya ke-10, pilihan raya negeri kali ini lebih sukar bagi parti pimpinannya.

“Kami menghadapi sedikit masalah. Saya perlu akui hakikat itu. Dengan dasar populis Ketua Menteri dan pertukaran Ketua Menteri, orang berasa berlainan daripada mantan Ketua Menteri,” katanya.

Tan Sr Adenan Satem telah memperkenalkan dasar yang dianggap pro-Cina termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), menyalurkan peruntukan RM12 jtua kepada sekolah persendirian Cina, dan tidak menganggap Cina sebagai pendatang.

Dalam usaha untuk menarik pengundi Cina kembali ke pangkuan Barisan Nasional, pengerusi BN itu itu telah menampilkan lima calon taikun, dan bersua dalam majlis khas dengan syarikat gergasi dimiliki taikun terbabit.

DAP akan bertanding di 30 kerusi, termasuk di 14 kerusi majoriti Cina. Pada 2011, DAP meraih 12 kerusi daripada 15 kerusi dipertandingkan ketika sentimen pengundi di bandar begitu memihak kepada pembangkang.

calon DAP 4

Sebanyak 38.44 peratus beranggapan bahawa faktor berkenaan sebagai perkara paling penting yang menyebabkan parti politik kurang mendapat sokongan, menurut satu kajian yang dijalankan pada tahun lepas.

“Bagaimana isu ini ditangani oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem banyak mempengaruhi keputusan di kerusi majoriti pengundi Cina nanti,” kata laporan kajian itu.

Pada pilihan raya 2011, pertelagahan dalaman SUPP, imejnya yang buruk, calon diputuskan oleh parti lain, janji kosong melalui manifesto, peruntukan  kecil untuk sekolah Cina dan masalah tadbir urus negeri  serta kepemimpinan Ketua Menteri, menjadi isu yang menyebabkan masyarakat Cina menolak BN.

Menurut pemerhati politik masyarakat Cina, pengundi Cina, antara lain mahu ‘kesaksamaan dan keadilan’ layanan dari segi mendapat peluang pekerjaan di sektor awam, dalam mendapatkan kontrak, permit dan lesen, selain  membabitkan soal pendidikan.

Dijangka, meskipun Ketua Menteri mendapat respons yang positif, namun, yang menjadi teka-teki adalah sejauh mana populariti Ketua Menteri diterjemahkan ke dalam bentuk undi kerana sebahagian pengundi Cina masih mahu kewujudan DAP dalam Dewan Undangan Negeri  (DUN) Sarawak untuk memainkan peranan semak dan imbang.

Chong merayu 1.13  juta pengundi di Sarawak agar memberi sokongan kepada pembangkang bagi memungkinkan impian itu tercapai, dan seterusnya bagi mengelakkan salah guna kuasa dan rasuah dalam kerajaan.

Keadaan ini  dirumitkan oleh masalah berkaitan  isu pencalonan  SUPP-UPP yang memungkinkannya berlaku sabotaj jika calon daripada mana-mana parti terbabit ditampilkan.       

Kedua-dua parti terbabit bersaing sesama sendiri dalam usaha mendapatkan pengaruh dan menonjolkan dirinya.

Media tempatan, terutama akhbar Cina dan The Borneo Post,  beberapa waktu lalu hampir setiap hari mengeluarkan kenyataan dan percakaran pemimpin  SUPP-UPP.

Mereka saling membalas kenyataan dan mengkritik sehingga memberi gambaran dan reputasi buruk kepada parti terbabit meskipun kebelakangan ini pemimpin SUPP kelihatan bertahan dengan tidak membalas kenyataan pemimpin UPP. – Sarawakvoice.com