Sunday, September 25, 2022

Calon Dun Nangka kecam wartawan Malaysiakini putar belit kenyataan, cabar kemuka bukti rakaman

Secara Rawak

SIBU: “Saya cabar dia kemukakan rakaman bahawa saya pernah menyebut ‘undi BN untuk kekalkan Ketua Menteri Islam’.

“Saya tidak pernah sebut itu. Semuanya fitnah dan putar belit wartawan Malaysiakini itu.

“Saya hanya berkata, undi BN untuk kekalkan Adenan Satem,” tegas Dr Annuar Rapa’ee, calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Nangka dekat sini semalam.

Kow Gah Chie
Kow Gah Chie

Katanya, tindakan wartawan portal tersebut, Kow Gah Chie itu amat tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.

“Dia (Gah Chie) harus faham bahawa di Sarawak, sentimen agama dan perkauman tidak mendapat tempat.

“Kerana itu kita amat menyokong tindakan calon BN di Dudong Datuk Tiong Thai King tidak melayan wartawan dari Semenanjung itu petang tadi,” katanya.

Petang semalam, portal tersebut menerusi tulisan Gah Chie menyiarkan berita yang mengatakan Annuar mahu umat Islam di Sarawak mengundi BN pada pilihan raya negeri 7 Mei ini agar pemimpin Islam terus menerajui kerajaan negeri.

calon dun nangka 3 malaysiakiniBerita tersebut tersebut kemudian menjadi viral di media sosial menyebabkan Annuar menerima reaksi negatif dan dikecam teruk oleh masyarakat tempatan.

Annuar yang juga Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (Lakis, sebelum itu berucap di hadapan kira-kira 400 hadirin yang menghadiri forum bertajuk ‘Keluarga dan Kepimpinan Islam’.

Menjelas lanjut, Annuar berkata, dalam ucapannya pada waktu itu, beliau hanya menyentuh tentang pentingnya pemilih BN terus mempertahankan kepimpinan sedia ada kerana kepimpinan ini telah mendapat sokongan meluas atas layanan adil di antara masyarakat Islam dan penganut agama lain.

“Saya menegaskan umat Islam di negeri ini perlu bersyukur kerana pemimpin kita dapat menjadi pemimpin di Sarawak walaupun merupakan golongan minoriti di negeri ini.

“Ini kerana masyarakat kaum lain tahu kita telah mentadbir dengan baik dengan memberikan keadilan kepada semua.

“Kita juga telah memimpin negara dengan baik dan kerana itulah saya menyeru umat Islam terus menyokong Ketua Menteri.

calon dun nangka 2

Berdasarkan kenyataan ini, kata Annuar, beliau tidak pernah membayangkan kenyataan rasis bahawa beliau mahu Ketua Menteri harus dibolot oleh orang Islam.

“Saya mahu masyarakat Islam berdiri teguh di belakang Tan Sri Adenan Satem kerana beliau disokong oleh semua lapisan rakyat.

Survei terkini katanya, menunjukkan populariti Ketua Menteri kini berada pada 81 peratus, seperti yang dilakukan oleh Merdeka Centre.

Tindakan putar belit ini lanjut Annuar, amat berbahaya kerana boleh mengancam keharmonian di negeri ini.

“Saya sendiri sejak kecil hidup berjiran dengan masyarakat daripada kaum lain… adakah saya terlalu dungu sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan seperti itu?

“Kita di Sarawak tidak berpolitik dengan isu perkauman. Kita memperjuangkan keperluan dan membela nasib rakyat,” menurutnya.

Kata Annuar, beliau juga telah memberi penjelasan lanjut ketika ditanya oleh wartawan tersebut tetapi dia memilih untuk memekakkan telinga dan tidak menyiarkan penjelasan tersebut.

Dalam artikel yang jelas mengapi-apikan perkauman itu, Gah Chie secara sengaja mengaitkan tentang agama Ketua Menteri terdahulu serta membuat perbandingan jumlah penganut agama di negeri ini. – Sarawakvoice.com

calon dun nangka

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru