SIBU: Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem untuk sekian kali cuba menghantar mesej jelas dan tegas kepada pengundi betapa perlunya mereka menyokong calon Barisan Nasional (BN) kerana 82 calon terbabit mewakili pasukannya.

Rayuan sedemikian dilakukannya di mana-mana majlis dan pertemuan termasuk dengan kakitangan dan ribuan pekerja syarikat konglomerat di sini dan di Miri.

Kelmarin beliau berada di Miri bertemu dengan pekerja syarikat Samling dan Shin Yang, manakala Jumaat beliau berucap di hadapan sekitar 6,000 pekerja WTK.

Beberapa sesi pertemuan dengan syarikat gergasi itu membayangkan betapa beliau sedar untuk mendapatkan undi daripada pengundi terbabit, beliau perlu mendapat kerjasama syarikat berkenaan.

Malah, pengerusi BN Sarawak itu telah mengambil langkah mengemukakan lima calon taikun atau tauke yang menguasai pelbagai bidang perniagaan untuk berhadapan dengan DAP.

Di Sarawak, wang, tanah dan balak tidak dapat dipisahkan daripada politik malah ia bagai minyak pelincir yang merancakkan politik.

Berjuta-juta ringgit diperlukan untuk hari penamaan calon, berkempen, sebagai wang deposit, mencetak pelbagai bahan kempen, dan menggerakkan jentera parti di akar umbi. Lagi sengit persaingan di sesuatu kerusi, lagi banyak wang diperlukan bagi memastikan kemenangan.

Dengan popularitinya mencecah 85 peratus mengikut kajian Majlis Profesor Negara (MPN) Oktober lalu, dan 81 peratus menurut kajian Merdeka Center Januari, strategi diambil Adenan ialah menjual nama, imej dan reputasinya seolah-olah seperti pemilihan presiden.

Kata Adenan: “Jika pun anda tidak suka kepada calon yang dipilih, fikirkan tentang Adenan, kerana kami dalam pasukan yang sama. Ada 82 orang dalam pasukan itu, jadi anda perlu memilih mereka, kerana undi calon berkenaan bermaksud undi untuk Adenan,” katanya.

Ketua Menteri menggunakan analogi pemain bola sepak yang perlu berganding bahu dan memberi tumpuan kepada permainan, dengan semua ahli pasukan perlu membantu untuk menjaringkan gol.

Pada pilihan raya 2011, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi, dan untuk kali ini terdapat 82 kerusi yang perlu direbut, termasuk 11 kerusi baharu, susulan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tahun lalu.

Sembilan daripada kerusi baharu berkenaan terletak di luar bandar.

Sebagai ketua pasukan, Adenan mahu mandat yang lebih kukuh bagi menuntut autonomi Sarawak daripada Putrajaya.

Beliau mahu 1.13 juta pengundi memastikan pasukannya menang besar pada 7 Mei ini.

Penganalisis berkata Bn boleh menang antara 65 hingga 70 kerusi.

Beliau mahu pengundi memberi peluang kepada ahli pasukannya, dan jika mereka tidak menjalankan tugas dengan baik, wakil rakyat berkenaan boleh disingkirkan dalam pilihan raya negeri ke-12, lima tahun dari sekarang. – Sarawakvoice.com