MUKAH: Lapan kerusi majoriti Melanau di kawasan tengah Sarawak, termasuk kerusi baharu Tellian dijangka terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya ini.

Pada pilihan raya 2011, tahap sokongan di kerusi Melanau adalah tinggi melebihi 70 peratus kecuali kerusi Jepak di Bintulu, hanya mencecah 60.8 peratus. Kerusi berkenaan dimenangi oleh Datuk Talip Zulpilip dengan undi majoriti 3,128 apabila beliau menewaskan empat calon, itu calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua calon Bebas.

Dua kerusi mencatat sokongan lebih 80 peratus dengan Semop diwakili Abdullah Saidol memperoleh 81.4 peratus dan Belawai yang dimenangi Datuk Len Talif Salleh mencatat 85.4 peratus, pencapaian terbaik bagi kawasan Melanau.

Terdapat empat kerusi Melanau yang mencatat sokongan lebih 70 peratus, iaitu Jemoreng 71.6 peratus,  Daro 73.4 peratus, Balingian 75.0 peratus dan Dalat  sebanyak 77.9 peratus.

Bagi Dalat, Datuk Fatimah Abdullah dijangka tidak akan menghadapi masalah untuk menumbangkan mana-mana calon, termasuk PKR di kerusi itu kerana dalam tempoh lima tahun lalu beliau telah bekerja keras, dengan kerap turun ke kawasan menemui pengundi dan melaksanakan tugasnya dengan berkesan sebagai wakil rakyat, kata seorang penganalisis politik.

Pada 2011,  jumlah pengundi terbesar adalah bagi kerusi Jepak dengan 12,979 pengundi berdaftar, dengan yang terkecil di kerusi Daro sebanyak 7,305.

Daripada sembilan kerusi berkenaan, tiga ialah muka baharu, iaitu Abdul Yakub Arbi di Balingian, Datuk Dr Juanda Jaya di Jemoreng dan Shafiee Ahmad di Daro.

Meskipun terdapat tentangan terhadap calon di Balingian, namun dipercayai bahawa Yakub Arbi dapat mempertahankan kerusi berkenaan.

Juanda dan Shafiee sebagai muka baharu dapat menang mudah di kawasan itu, apatah lagi dengan reputasi mereka yang positif.

Yussibnosh Balo yang sebelumnya memenangi kerusi Balingian dalam pilihan raya kecil 2014, dipindahkan ke kawasan kelahirannya, kerusi baharu, Tellian.

Beliau dijangka sama sekali tidak berdepan masalah memenanginya kerana beliau kerap turun ke akar umbi selama menjadi wakil rakyat dan amat disenangi pengundi.

Dengan populariti Ketua Menteri yang berada pada paras 85 peratus menurut kajian Majlis Profesor Negara, dan dengan 53 langkah dan keputusan yang diambil beliau, sentimen keseluruhan pengundi kawasan terbabit adalah positif.

Bagi penganalisis politik, keyakinan dan kesetiaan kepada parti yang masih tinggi juga menyebabkan kerusi majoriti Melanau terus merupakan penyokong kuat BN.

Bagi pengundi berkenaan, PBB merupakan parti yang boleh digantung harap kerana pemimpinnya berada dalam barisan tertinggi pemerintahan negeri.

“Sukar untuk parti pembangkang menerobosi kubu kuat kerusi Melanau kerana orang Melanau amat setia pada PBB. Mereka yakin hanya parti tulang belakang BN itu dapat melindungi kepentingan mereka. Lagipun sebagai etnik minoriti, mereka beranggapan, mereka tidak boleh membiarkan pembangkang merosakkan kesatuan dan perpaduan Melanau,” kata penganalisis.- Sarawakvoice.com

sarawakvoice canvas_0000