Monday, August 8, 2022

PBDS Baharu tanding kurang 10 kerusi

Secara Rawak

KUCHING: Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baharu yang mendakwa parti multietnik akan bertanding kurang  daripada 10 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 7 Mei ini.

Calon yang ditampilkan adalah daripada etnik Dayak, sekali gus menggambarkan parti baharu itu akan bertanding di kerusi majoriti Dayak.

Dengan kemunculannya hanya beberapa hari sebelum hari penamaan calon pada 25 April ini, banyak pemerhati politik beranggapan bahawa adalah sukar bagi parti pimpinan Louis Jarau ini memberi kesan dan dampak yang signifikan.

Pada tahun lalu, PBDS Baharu dalam satu kenyataan berkata, ia tidak akan bertanding di kerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS). PRS bertanding di 11 kerusi, termasuk di dua kerusi baharu.

Mengakui sebagai parti tempatan, prinsipnya adalah untuk menentang parti dari luar. “Kami anggap diri kami sebagai parti tempatan, dan kami pasti akan menentang Umno. Kami juga menentang PKR, DAP dan PAS,” kata timbalan presidennya Patrick Anek Uren kepada media di Kuching, semalam.  

PBDS Baharu dijangka bertanding di kerusi majoriti Bidayuh, termasuk Patrick Anek Uren di Opar untuk menentang Ranum Mina, calon langsung yang dikaitkan dengan Parti Rakyat Bersatu (UPP).

PBDS Baharu mempunyai matlamat untuk memupuk dan mengukuhkan interaksi politik dan sosial yang kondusif dalam kalangan komuniti Dayak dengan etnik lain, serta menggalakkan rasa kepunyaan dalam kalangan kaum Dayak.

Justeru, katanya, akan menyumbang kepada kewujudan masyarakat Malaysia yang progresif dan aman.

Dari segi sejarah, PBDS yang asal ditubuhkan pada 1983 oleh Tan Sri Leo Moggie Irok setelah berlakunya perpecahan dengan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Selepas Leo Moggie meletak jawatan mengejut sebagai presiden parti pada 24 Jun 2003, PBDS mengalami krisis dalaman.

Konflik itu berlaku ekoran perebutan jawatan antara Timbalan Presiden, Daniel Tajem yang mengambil alih kepemimpinan parti, tetapi dipertikaikan oleh Ketua Penerangan, Dr. James Jemut Masing. Peristiwa ini membawa kepada pembatalan pendaftaran PBDS oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS). Ia kemudian dibubarkan pada  5 Disember  2003.

Pembubaran PBDS  melahirkan dua parti serpihan, iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang diterajui Dr. James Jemut Masing dan Kongres Dayak Malaysia (MDC)  tetapi gagal didaftarkan.

Usaha dilakukan untuk mendaftarkan semula PBDS Baharu, dan kini parti berkenaan dibenarkan untuk bertanding dalam pilihan raya 7 Mei nanti.

Namun, pemerhati politik meragui keupayaannya untuk meninggalkan kesan bermakna dalam waktu singkat. Meskipun ia mungkin mampu menampilkan calonnya, tetapi dengan keterhadan masa, kewangan, dan jentera akar umbi, adalah mustahil untuknya memenangi sebarang kerusi.

Malah, ia akan berdepan dengan masalah untuk mendapatkan calon yang benar-benar berwibawa dan mampu menang. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru