Tuesday, November 29, 2022

Menghalang pemimpin politik Semenanjung buat kacau

Secara Rawak

Baru-baru ini isu “orang Malaya” dihalang daripada memasuki Sarawak tiba-tiba menjadi topik hangat.

Bukan sahaja ahli politik daripada pembangkang disenarai hitam daripada memasuki Sarawak tetapi juga ahli daripada Umno, termasuk yang terkini Papagomo. Nampak adillah tiada pilih kasih atau lihat bulu, tetapi saya menjangkakan pasti akan ada juga yang memainkan isu tidak adil kerana statistiknya tidak seimbang.

Terdapat juga ahli akademik yang dihalang daripada memasuki Sarawak, tetapi golongan ini kurang mendapat perhatian, kurang dipeduli kerana mereka bukan aktor politik.  

Mampukah Sarawak mengekang golongan yang dilabelkan sebagai ‘ekstremis’ agama dan politik ini daripada menyebarkan ideologi mereka ke Sarawak?

Jawapannya semestinya tidak kerana zaman teknologi komunikasi ini rakyat boleh mengakses maklumat hampir menyerupai lintas langsung dari lokasi. Belum naik belon balik KL gambar dan komen sudah muat naik Facebook.  Dalam sekelip mata boleh menjadi viral apabila pengguna Facebook sentuh pada touch screen untuk share.

Benarkah menghalang mereka masuk secara fizikal mampu menghindari rakyat Sarawak diracuni oleh pemikiran mereka?

Jawabnya pasti sekali lagi tidak. Jadi, apakah keperluan kerajaan negeri Sarawak mengambil langkah sedemikian?

Objektif langkah sedemikian sebenarnya hanyalah ingin menghantar mesej ke seberang bahawasanya Sarawak menolak ekstremisme dan radikalisme.

Kita perlu juga memikirkan dengan lebih terperinci apakah keuntungan yang boleh dibawakan mereka kepada Sarawak atau sebenarnya mereka memperoleh lebih banyak faedah daripada Sarawak.    

Selama ini rakyat Sarawak begitu bangga dengan keunikan dan keistimewaan bangsa Sarawak takkan tiba-tiba menjelang proses pemilihan wakil rakyat ini memerlukan orang Semenanjung datang membimbing mereka bagaimana dan siapa yang harus dipilih?

Betulkah ketiadaan individu yang disenarai hitam memasuki negeri Sarawak ini akan memberi kesan terhadap rakyat Sarawak atau sebenarnya memberi kesan kepada kempen pilihan raya?     

 Memilih wakil rakyat bermaksud memilih wakil untuk menyuarakan masalah-masalah penduduk di kerusi Dewan Undangan Negeri di Sarawak, dan lebih penting menggubal polisi serta undang-undang kerajaan negeri Sarawak yang berkepentingan kepada rakyat.

Kalau setakat bising menguar-uarkan cerita itu ini di tempat awam baik biar rakyat sendiri yang highlight dalam Facebook kerana yakin boleh dapat perhatian yang lebih viral. Apa yang dikehendaki ialah wakil rakyat yang berkemampuan membantu menyelesaikan isu-isu berbangkit tersebut.

Rakyat Sarawak seharusnya dilihat mempunyai bakat dan kemampuan untuk menentukan sendiri apa yang terbaik untuk diri mereka sendiri.   

Dalam masa sama, tidakkah pihak-pihak yang menentang keras langkah kerajaan negeri ini risau diinterpretasi sebagai Pak Sanggup kepada ‘Malaya’?

Imigresen ialah autonomi negeri Sarawak. Nadai maioh agi tinggal, anang ngadai ia ka agi bedau nya ga.           

Isu-isu yang diperjuangkan mestilah isu-isu prioriti dalaman negeri Sarawak mahupun dilihat dari lensa masyarakat Sarawak sendiri. Maka logiknya tidak perlu ada konsultan atau pakar rujuk dari Semenanjung untuk ajar rakyat Sarawak apa yang lebih penting.      

Lebih-lebih lagi model politik di Semenanjung tidak semestinya sesuai ditempel begitu-begitu sahaja di negeri Sarawak. Biar rakyat Sarawak yang menentukan sendiri dengan acuan ramuan yang tersendiri.

Apa-apa pun, Sarawak sentiasa terbuka tangan untuk mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke negeri yang serba cantik dan indah ini sebagai pelancong untuk meningkatkan lagi aktiviti ekonomi penduduk tempatan.

Umpama lirik Sheila On 7 – “kekasih sejatimu tidak akan pernah sanggup untuk meninggalkanmu.” – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru