KUCHING:  Tan Sri William Mawan Ikom yang meletakkan jawatan sebagai Presiden Teras sebagai syarat menjadi calon langsung Barisan Nasional (BN) di Pakan percaya tidak mudah untuk parti serpihan berkenaan dibubarkan.

Mawan yang pernah menjadi Presiden Parti Progresif Demoratik Sarawak (SPDP) sebelum menubuhkan Teras pada 2014 mengakui terdapat hasrat pihak tertentu untuk melihat parti pimpinannya itu terkubur.

“Teras tidak boleh dibubarkan begitu sahaja,” katanya kepada  media, Isnin. Mawan menegaskan ramai yang telah meninggalkan SPDP untuk menyertai parti pimpinannya kerana mereka percaya terhadap perjuangan politik parti serpihan itu, dan tentu tidak mudah untuk mereka tunduk kepada tekanan bagi membubarkannya.

Beliau memberi reaksi apabila ditanya media berkaitan kenyataan Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing bahawa Teras dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) tiada lagi selepas pilihan raya 7 Mei  sebagaimana dilaporkan The Star Online.

Maksudnya, menurut pemerhati politik, dua parti serpihan berkenaan terpaksa dibubarkan, kerana peluang mereka untuk diterima menyertai Barisan Nasional adalah tipis selagi parti komponen lain menentang.

Sebelum ini, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan SPDP menentang kemasukannya, sehingga Teras dan UPP terpaksa mengisytiharkan dirinya sebagai mesra BN.

Untuk diterima masuk, sesuatu parti perlu mendapat konsensus daripada parti komponen lain.

Presiden SPDP berkata, perkara berkenaan disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Ahad, di hadapan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

“Perdana Menteri mengesahkan tidak akan ada lagi Teras dan UPP selepas pilihan raya,” kata akhbar itu memetik Tiong.

Tiong  memberitahu demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tiga jam Majlis Tertinggi SPDP di Sibu Ahad malam.

Bagi meleraikan masalah perebutan kerusi dan calon, Adenan mengemukakan strategi calon langsung, tetapi ia telah mencetuskan rasa tidak senang di pihak parti terbabit.

Calon langsung disyaratkan berundur dari parti, dan selepas pilihan raya mereka dibenarkan memilih parti komponen BN.

Ditanya sama ada Adenan bersetuju dengan pendirian Najib bahawa Teras dan UPP perlu dibubarkan, Tiong sebagaimana dipetik akhbar itu berkata: “Bersetuju atau tidak, saya tak tahu. Bagaimana saya boleh masukkan kata-kata dalam mulut orang lain?”,  sambil menambah mana-mana calon yang menang boleh menyertai SPDP.  

“Mereka perlu terlebih dahulu memohon jadi ahli. Mengenai kedudukan dalam parti, terpulang kepada delegasi memutuskannya,” tambah beliau.

Bagi pemerhati politik isu berkaitan UPP dan Teras perlu diselesaikan secara muktamad, dan tidak boleh dibiarkan berlarutan, kerana ia boleh mencetuskan konflik dan mewujudkan ketidakstabilan dalam BN.

Jalan penyelesaian yang tuntas perlu dicari  supaya masalah berkenaan tidak berulang menjelang Pilihan Raya Umum dan pilihan raya negeri akan datang.- Sarawakvoice.com