Shafiee tidak janjikan bulan bintang, ikrar usaha yang terbaik untuk Daro

0
101

DARO: “Biar saya mengubah Daro, jangan Daro ubah saya,” kata Shafiee Ahmad, 47, calon baharu Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (Dun) N43 Daro.

Itu ikrar dan harapan lelaki yang menggantikan penyandang kerusi tersebut, Dr Murni Suhaili dalam Pasukan Adenan pada pilihan raya negeri kali ini.

Dun Daro mempunyai 8,507 pengundi berdaftar dengan pecahan 5,924 pemilih Melanau, 2,370 Iban, 210 Cina dan tiga lain-lain.

Shafiee, anak jati Daro kelahiran Kampung Penasu amat mengenali daerah bakal tadbirnya itu. “Saya membesar dengan melihat sendiri perubahan di daerah ini.

“Zaman kecil saya memang sukar. Berperahu, berhujan, berpanas. Itu pengalaman biasa dalam kehidupan saya sebagai anak kampung.

“Saya pernah berjual sayur ketika masih bersekolah. Di kampung, saya pernah menjadi pemborong. Membeli sayur-sayuran penduduk kampung dan menjualnya semula. Dapatlah untung sedikit tetapi yang penting, saya membantu mereka menghabiskan jualan.

Daro hari ini ulas Shafiee, tidak lagi tersisih jauh seperti dekad 1980-an dan awal 1990-an.

“Biarpun perlahan namun ia tetap dirasai sedikit demi sedikit hasil komitmen kerajaan BN.

“Misalnya Daro hari ini boleh dihubungi melalui darat ke bandar Sibu atau Mukah serta beberapa perkampungan lain dengan hanya dalam tempoh beberapa jam.

“Taraf ekonomi penduduk pula semakin berubah biarpun tidak mewah. Peluang wujud biarpun pada skala kecil-kecilan.

Sebagai pekan kecil, Daro hidup dengan aktiviti perniagaan. Pada waktu siang, urusan jual beli berlangsung rancak manakala sebelah malamnya ruang niaga dikuasai oleh aktiviti di gerai makan.

“Masih ada ruang untuk kawasan ini membangun,” katanya yang pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah Daro selama tiga tahun.

Bagi penerhati politik, Shafiee dilihat tidak mempunyai masalah untuk menang besar pada pilihan raya kali ini. Hasil risikan menunjukkan majoriti pemilih Dun Daro ini menerima dengan senang hati kehadirannya, malah sehingga ada yang mengadakan solat hajat memohon beliau dicalonkan.

“Saya sangat terharu dengan apa yang orang kampung lakukan. Saya tidak pernah bermimpi untuk berada di sini.

“Biar bertahun-tahun saya meninggalkan Daro, ternyata saya masih di hati mereka,” katanya.

safiee ahmad pbb

Ikrarnya, apabila mandat diperoleh kelak, beliau akan berusaha sebaik mungkin meladeni kepayahan penduduk sebelum ini.

“Saya memahami rungutan mereka berhubung bekalan elektrik yang saban minggu terputus, krisis bekalan air bersih di sesetengah kawasan dan teka-teki pembinaan balai bomba yang tidak pernah kesudahan.

“Saya tidak mampu menjanjikan bulan dan bintang, tetapi saya berjanji akan sentiasa bersama-sama Daro. Ini adalah tanggungjawab,” katanya.

Shafiee merupakan lulusan ijazah sarjana Peningkatan Kualiti dan Produktiviti serta pemilik ijazah sarjana muda Pentadbiran Awam.

Pernah bertugas sebagai Pegawai Tadbir (Penolong Pegawai Daerah) di Pejabat Daerah Limbang pada 1994 hingga 2001, beliau kemudian dilantik Pembantu Ketua Penolong Pengarah di Jabatan Ketua Menteri sehingga tahun 2004 sebelum ditawar sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Jabatan Agama Islam di bawah lantikan kenaikan gred khas.

Shafiee kemudian berpindah sebagai Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pengurusan Penjawatan Unit Pengurusan Sumber Manusia Jabatan Ketua Menteri, sebelum dilantik Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Warisan pada 2010.

Pada tahun 2011, beliau dilantik sebagai Pegawai Daerah Daro sebelum dilantik sebagai Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) pada 2014.

Bagi rakyat Daro, bapa kepada lima anak dan suami kepada seorang pendidik ini diturunkan harapan untuk mengubah landskap Daro sebagai pekan maju .

“Saya mengharapkan kerjasama dan sokongan semua pihak. Jika tersasar berilah teguran, jika rasa tersisih … berjumpalah saya bila-bila masa. Insya-Allah kita sama-sama mencari yang terbaik untuk daerah kesayangan ini,” katanya. – Sarawakvoice.com