william mawan ikomParti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) hanya diberikan tiga kerusi, pada pilihan raya kali ini. Dan sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN), calonnya termasuk Tan Sri William Mawan Ikom sebagai Presiden terpaksa mengundur diri daripada parti tersebut. Wartawan MOHD ZAHIR HAQIM menemui TAN SRI WILLIAM MAWAN untuk mendapatkan komen mengenai isu ini dan mengupas beberapa isu lain yang melingkar.

SV: Teras kehilangan dua kerusi – Marudi dan Tasik Biru. Komen Tan Sri.

TSWM: Saya tidak berpendapat ia hilang. Hanya ia diserahkan kepada satu kumpulan dalam parti komponen yang lebih berpengaruh untuk mempertahankan kerusi ini mewakili BN (Barisan Nasional). Tetapi tidak bermakna mereka ini terlalu kuat. Ia masih memerlukan kerjasama semua.

Kalau BN dapat memenangi kerusi ini, ia bermakna ia kemenangan semua parti komponen. Jika BN kuat maka semua komponennya kuatlah. Kalau kita bergaduh, walaupun kumpulan dan parti kita menang, tetapi kedudukan BN secara keseluruhannya terjejas.

Tan Sri sendiri akan mengundurkan diri daripada Teras?

TSWM: Ini merupakan syarat BN. Kalau kita perlu mengundur diri kerana ini diperuntukkan dalam perlembagaan BN, jadi kita mengundur dirilah. Kalau kita hendak bertanding di bawah panji BN, tidak ada pilihan. Tidak boleh dibantah. Saya mengundur diri daripada Teras dan telah menyerahkan surat peletakan jawatan pada pagi Isnin. Ia kelayakan minimum.

Siapa yang akan ambil alih tampuk Teras?

TSWM: Timbalan Presiden. Beliau akan mengambil alih jawatan sekarang.

Prospek tiga calon langsung BN, bekas ahli Teras pada pilihan raya kali ini?

TSWM: Saya ingat ketiga-tiga calon ini boleh menang, termasuk saya sendiri. Sebab itulah kami penyandang ini dipilih untuk mempertahankan kerusi.

Adakah Tan Sri menjangkakan SPDP akan membantu kawasan-kawasan yang ditandingi ini?

TSWM: Ya. Saya masih mempunyai hubungan baik dengan kebanyakan mereka. Lagipun mereka semua kawan lama saya. Semua pihak tidak harus melihat isu ini sebagai terlalu peribadi.

Semua ini atas nama Barisan Nasional. Jika anda tidak membantu kami, orang lain pun tidak akan membantu anda. Kita akan rugi. Yang saya tahu kebanyakan calon yang dicalonkan di kerusi yang tradisinya milik kami akan diberi maklum balas sewajarnya.

SPDP dan saya sebenarnya amat sukar dipisahkan. Saya merupakan Presiden pertamanya. Apabila saya melihat keliling…ia juga parti saya.

Tetapi Presiden SPDP, Tan Sri Tiong King Sing mengatakan Teras akan berkubur dan dibubarkan?

TSWM: Dia boleh mengharapkan itu. Saya tidak akan bersetuju dengan begitu mudah, apatah lagi dengan pandangan dia sebagai Presiden parti lain yang bersaing (dengan Teras).

Tidak mudah untuk membina kumpulan yang saling mempercayai dan kemudiannya membentuk entiti politik. Teras pun ada visinya sendiri. Ia satu perjuangan bagi kami. Ia bukan kumpulan yang dikumpulkan dalam satu majlis berbeku dan terus membentuk parti. Bukan. Ia terbentuk kerana sesuatu yang kita percaya dan kita kongsikan bersama. Dan kita meninggalkan SPDP dahulu kerana ada sesuatu yang kita tidak mempercayai. Ia bukan sesuatu yang muncul dan kemudian lesap.

Selepas pilihan raya, adakah Tan Sri akan terus berusaha memohon agar Teras diterima sebagai komponen BN?

mawanTSWM: Saya tidak ada ‘locus standi’ kerana saya bukan lagi ahli parti tersebut. Tetapi apabila saya melepaskan jawatan, ia membolehkan saya menjadi calon Barisan Nasional dan sebagai ahlinya selepas itu. Setelah itu kita akan mencari jalan untuk membincangkan perjuangan dan objektif di mana kita boleh menyakinkan orang ramai dengan membawa Teras masuk (sebagai komponen BN). Atau biarkan ia di luar sana … kekal sebagai masalah. Ya, kalau anda layan dia sebagai masalah…dia akan kekal menjadi masalah…kalau anda layan dia sebagai sahabat…dia akan menjadi aset berharga.

Isu ini perlu ada pengakhiran. Teras selama ini tidak pernah dilihat sebagai pembangkang dan sentiasa berada dalam radar BN. Dilihat bersama-sama BN. Hanya ia masih belum diterima sebagai anggota komponen BN menerusi konsensus.

Ia juga boleh menjadi satu parti pada masa depan. Mungkin tiada lagi teras? Atau juga tiada lagi SPDP? Kita tidak tahu…(ketawa)

Apabila ada kritikan daripada ahli SUPP terhadap Tan Sri Ketua Menteri, komen Tan Sri?

TSWM: Ini hanyalah perasan peribadi. Pilihan raya merupakan situasi yang begitu memberi tekanan kepada emosi calon dan penyokongnya. Seseorang boleh menjadi begitu mudah bereaksi kepada pelbagai perkara. Jika mereka melihat sesuatu isu dan dia gagal mengawalnya, maka ia akan meledak. Itu yang berlaku.

Dalam BN kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku. Tidak bermakna Ketua Menteri salah! Ia adalah situasi yang sangat sukar. Begitu sukar dalam kedudukan dia sebagai Pengerusi BN. Dia cuba untuk mengimbangi dan memperoleh keputusan terbaik dan berlaku adil kepada semua pihak. Apa pun keputusan perlu ada. Dan akhirnya dia tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak.

Pastinya ada yang tidak akan berasa gembira. Pemenang akan gembira dan mereka yang tewas dan kalah akan sedih dan kecewa. Inilah yang selalu berlaku. Tidak mudah. Hargai dan sabarlah. Saya juga inginkan kehendak saya diperoleh. Tetapi untuk ketika ini…ikutlah.

Kerusi Dun Pakan, kenapa anda sebagai calon, bukan Jakson?

TSWM: Sebab saya masih di sini. Bukan dia. Memang saya sejak awalnya. Ketika saya memberi indikasi untuk meletakkan dia (Jakson) kerana saya memegang dua jawatan, pelbagai pihak menyasarkan dia.

Mereka melihat wujudnya jurang dan peluang. Dan mereka membelasahnya jika terhidu apa jua kekurangannya. Tetapi golongan ini tidak pula menyerang saya. Kenapa mereka tidak tembak saya? Jadi saya terpaksa kembali dan menyelamatkan keadaan. Tidak ada yang berani ketika itu.

Anak saya tidak sempurna. Dalam politik, kalau anda tidak bankrap, anda waras, dan anda tidak sabit kepada mana-mana kesalahan, anda ok. Tetapi kalau anda mencari kesempurnaan individu…carilah di syurga. – Sarawakvoice.com