SIBU: Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) yang mengharungi tempoh getir sepanjang beberapa minggu lalu menanti saat-saat pengumuman calonnya, kini berasa lega sesudah dua kerusi tradisi diberi kepadanya, iaitu Marudi dan Tasik Biru ketika Teras pimpinan Tan Sri William Mawan Ikom terpaksa menelan pil pahit.

Presiden SPDP sedar akan risikonya jika dua kerusi berkenaan yang punya potensi untuk dimenangi terlepas ke tangan Teras. Tanpa kerusi itu, SPDP hanya bertanding di tiga kerusi, tetapi kini dengan kemunculan Datu Dr Penguang Manggil bagi Marudi dan Datuk Henry Harry Jinep bagi Tasik Biru, maka Datuk Seri Tiong King Sing boleh senyum seketika meskipun sedar cabaran sabotaj kemungkinan menanti parti pimpinannya.

Tiga lagi kerusi yang ditandingi SPDP untuk 7 Mei ini ialah Krian yang diwakili Kilat Briak, Meluan oleh Rolland Duat dan Ba Kelalan diwakili Willie Liau.

Pada pilihan raya 2011, SPDP bertanding di lapan kerusi tetapi tewas di Ba Kelalan dan Krian kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Untuk kali ini, menurut jejakan akar umbi ia dijangka berdepan kesukaran menumbangkan pengerusi PKR negeri Baru Bian di Ba Kelalan dan penyandang, Ali Biju di Krian.

SarawakVoice.com menyenaraikan dua kerusi itu antara 22 kerusi hitam bagi Barisan Nasional.

Dalam perkembangan lain, Tiong segera menepis khabar angin betapa jika calonnya tidak dipilih, maka parti itu bakal memiih jalan lain dengan keluar dari Barisan Nasional, adalah sesuatu yang tidak berasas.

Ahli Parlimen Bintulu itu sebaliknya berkata, “SPDP akan terus bersama-sama BN meski mengakui pengagihan kerusi agak mengecewakan.”

Tiong juga berkata Teras dan Parti  Rakyat Bersatu (UPP), parti serpihan SPDP dan Parti Rakyat Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) tidak akan ada lagi selepas pilihan raya nanti, memberi bayangan calon langsung BN dari kedua-dua parti itu bakal tidak punya pilihan, kecuali kembali ke pangkuan parti asal mereka.

Sebagai syarat menjadi calon langsung, ahli dan pemimpin parti diminta berundur dari parti terbabit, untuk nanti selepas menang, boleh memilih parti yang disenangi yang menjadi anggota BN.

Tiong sedia membuka pintu parti SPDP kepada calon langsung terbabit, tetapi tentu mengikut hierarki dan menjadi ahli biasa, sesuatu yang tentu sukar diterima ahli dan pemimpin berkenaan.

“Untuk jawatan dalam parti itu terpulang kepada delegasi parti menentukannya,” kata Tiong. – Sarawakvoice.com