KUCHING: ” Saya mahu menjadi rakan semua pihak. Rakan pengundi dan rakan rakyat.

“Saya tidak mahu dilihat sebagai ‘bos’,” akui Datu Dr Penguang Manggil, calon baharu untuk Barisan Nasional (BN) di Dun Marudi.

Penguang bekas penjawat kanan negeri menggantikan wakil rakyat selama empat penggal Dun tersebut, Datuk Sylvester Entri Muran yang digugurkan.

Jelas Penguang, beliau telah bekerja kuat dengan mengunjungi seluruh kawasan Dun Marudi sejak tahun lalu setelah namanya dimajukan oleh Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

“Jadi keputusan hari ini tidak mengejutkan saya. Saya malah telah bersedia sepenuh jiwa raga saya untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Walaupun berhadapan rintangan getir untuk dinobatkan sebagai calon, Penguang menganggap ia adalah harga yang perlu dibayar dan beliau menerima keadaan itu seadanya.

“Saya amat bersyukur ia telah berakhir dan lebih gembira kerana akhirnya saya dipilih.

dr penguang dan henry

Penguang dimaklumkan mengenai pencalonannya oleh Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sendiri semalam, yang menghubungi telefon bimbitnya ketika berada di rumah panjang di Marudi.

“Dengan tanggungjawab ini, jika menang, saya berjanji akan menjadi wakil rakyat kepada semua bangsa, agama dan pelbagai parti.

“Dan saya juga berjanji untuk menjadi rakan mereka (rakyat), bukan sebagai ketua dan sebagainya,” ikrarnya.

Sebelum dipilih, kedua-dua calon bertaraf “gergasi” ini dikatakan saling bersaing sejak beberapa bulan lalu, dengan masing-masing cuba menunjukkan gelombang sokongan.

Bagaimanapun, beberapa sentimen tempatan serta keinginan penduduk untuk melihat “muka baharu” menyaksikan Entri Muran yang kini Setiausaha Agung Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) menamatkan perkhidmatannya selepas empat penggal.

Pada PRN 2011, Entri Muran memperoleh majoriti 3,202 setelah mengutip 4,578 undi untuk mengetepikan tiga pencabar lain dari PKR, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan calon bebas.

Seramai 14,858 orang layak sebagai pemilih berdaftar di Dun Marudi pada 7 Mei ini. Daripada jumlah tersebut, 82 merupakan pemilih awal manakala seorang lagi akan mengundi pos dari luar negara.

Bakal dicabar Dr Elia Bit dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Penguang akan berhadapan 7,524 atau 50.64 peratus pengundi lelaki dan 7,334 atau 49.36 peratus pengundi perempuan. – Sarawakvoice.com

marudi skyview