KUCHING: Parti pembangkang, Parti Reformasi Sarawak (Star) merancang untuk bertanding di 10 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak pada 7 Mei ini, berbanding sasaran awal 36 kerusi, ekoran masalah kewangan.

Presidennya Lina Soo berkata tujuh calon sudah diumum dan disahkan akan bertanding iaitu Teo Kuang Kim di kerusi Padungan, Buln Ribos (Serembu), Prescila Lau (Pelawan), Simon Tiong (Nangka), Moh Hiong King (Bukit Assek), Wong Sing Wei (Bawang Assan) dan Mary Ting (Dudong).

“Star ialah sebuah parti yang miskin dan saya tidak malu untuk menyatakan kami ada baki RM1,300 sahaja di dalam akaun bank,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Star meletakkan tujuh calon, namun semua hilang wang deposit, manakala pada PRN-10, parti itu tidak bertanding.