KUCHING: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun ) Pending, Milton Foo, 38, terkejut apabila namanya masih dikekalkan bagi menghadapi pilihan raya negeri pada 7 Mei ini, biarpun melakukan teguran keras terhadap kepimpinan Tan Sri Adenan Satem menerusi laman facebooknya semalam.

Beliau yang ditemui petang ini sebaliknya berkata, beliau berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan Adenan dan kagum akan keterbukaannya menerima kritikan itu.

“Ketua Menteri menunjukkan kesanggupannya untuk mendengar akan kebenaran, biarpun pahit.

“Adenan adalah pejuang sebenar kerana beliau berada di sini untuk menjaga hak kita rakyat Sarawak,” katanya sejurus sidang media bersama Pengerusi BN Sarawak di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) petang ini.

Kata Foo, jika perkara serupa berlaku dan dia merupakan ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP), dia yakin dia akan digantikan.

“Sekarang saya akan lebih fokus kepada pilihan raya dan akan melakukan yang terbaik untuk para pengundi dan rakyat di kawasan yang saya diamanahkan,” katanya.

Foo berkata, yang penting, mesej yang ingin disampaikannya itu diterima baik oleh Adenan.

“Beliau adalah pemimpin hebat,” katanya merujuk kekagumannya.

Sementara itu pada sidang media tersebut, Adenan menegaskan isu tersebut telah diselesaikan dengan baik dan individu yang terbabit (Milton) telah memohon maaf dan berjanji untuk tidak mengulangi perbuatannya.

Milton pada 17 April lalu memuat naik status facebooknya yang ditulis dalam bahasa Mandarin, mengutuk Adenan sebagai seorang yang diktator, berat sebelah dan mengabaikan rundingan dengan rakan komponen ketika memilih calon.

Ini berikutan tindakannya mengetepikan hak SUPP di dua kerusi tradisi miliknya, Pelawan dan Pujut dan menyerahkannya kepada calon langsung BN.

Setiausaha Publisiti Pemuda SUPP Cawangan Pending itu dijangka akan menentang penyandang kerusi terbabit, Violet Yong (DAP) dalam saingan dua penjuru di Dun Pending.

Pada tahun 2011, Violet menang terhadap Profesor Datuk Dr. Sim Kui Hian dengan majoriti 7,595 undi.

Kali ini, sebanyak 30,488 pemilih berdaftar akan terlibat dalam proses demokrasi di Dun tersebut, dengan 43.59 peratus pemilih berusia di bawah 50 tahun, dan 15,442 pemilih perempuan. – Sarawakvoice.com