KUCHING: Tan Sri William Mawan Ikom sudah dapat membayangkan laluan yang bakal menanti beliau selepas pilihan raya negeri ke-11.

Bagi pemerhati politik, syarat yang diletakkan oleh Ketua  Menteri meminta calon langsung dari teras dan Parti Rakyat Bersatu (UPP), memperlihatkan bahawa ada kemungkinan mereka terpaksa memilih jalan yang sukar.

Pemerhati politik berkata, intrig dan konflik politik ekoran pertelagahan antara parti asal SUPP dan SPDP dengan parti serpihan tidak boleh berlarutan kerana tidak baik untuk Barisan Nasional.

“Sampai bila BN Sarawak boleh membiarkan pergolakan berlaku sehingga boleh membawa perpecahan,” katanya.

Jalan penyelesaian muktamad dan tuntas perlu dicari, dan jalan itu adalah dengan memberi peluang ahli dan pemimpin terbabit kembali ke  pangkuan parti asal mereka.

Mawan yang pernah menjadi presiden SPDP sebelum mengambil langkah membentuk Teras pada 2014, tidak menolak kemungkinan beliau akan kembali ke pangkuan SPDP 7 Mei nanti, apatah lagi beliau sedar bahawa Parti Rakyat Sarawak pimpinan Tan Sri James Jemut Masing dan SPDP pimpinan Datuk Seri Tiong Thai Sing, tidak akan mahu berganjak daripada pendirian sebelum ini, untuk tidak membuka pintu BN kepada parti serpihan berkenaan.

“Ketika ini, kami adalah calon langsung BN. Kembali semula adalah sesuatu yang hampir pasti. Tidak bolehlah mengucapkan selamat tinggal kepada parti dan tidak kembali ke pangkuannya semula. Lagipun, semua kami adalah di bawah BN,” katanya.

Mawan berkata demikian kepada pemberita selepas menerima surat pelantikan sebagai calon BN daripada pengerusi BN negeri Tan Sri Adenan Satem.

Semalam, Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata parti itu membuka pintunya kepada pemimpin Teras, termasuk Mawan.

Namun, Tiong yang menegaskan bahawa sekiranya Mawan ingin kembali menganggotai  parti asalnya, beliau perlu bertatih dari bawah sebagai ahli biasa, sesuatu keadaan yang tentunya sukar diterima oleh mana-mana individu yang pernah menjadi presiden. – Sarawakvoice.com

11141753_230640570629025_9012289057459496587_o