KUCHING: Dengan isu berkaitan senarai 82 calon Barisan Nasional (BN) sudah selesai setelah mengharungi tempoh bergelora yang panjang, dengan banyak usaha melobi di belakang tabir politik, kini cabaran tidak kurang besar menanti calon terbabit di beberapa kerusi.

Bukan semua puas hati dengan strategi calon langsung membabitkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) serta masing-masingnya dua parti serpihan Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Teras.

Dalam persaingan sengit untuk menampilkan diri sebagai calon paling mampu menang dan diterima baik di peringkat akar umbi, beberapa kawasan telah menyaksikan calon berpotensi terbabit menggemblengkan segala usaha, tenaga dan sumber untuk menonjolkan diri bagi menangkap perhatian Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Persoalannya, menurut pemerhati politik adalah bagaimanakah cara untuk meredakan harapan berkecai calon yang digugurkan dan para penyokongnya.

Inilah yang sekurang-kurangnya berlaku di Tasik Biru dan Marudi dengan Datuk Peter Nansian semalam mengakui tidak ada masalah bagi beliau memberi kerjasama, tetapi tidak pasti bagaimana reaksi penyokongnya.

Selain Nansian, empat lagi Menteri Muda tidak lagi muncul dalam pilihan raya ke-11 pada 7 Mei nanti.

Baik Datuk Penguang Manggil di Marudi mahupun Datuk Henry Jinep di Tasik Biru, kedua-duanya kini menghadapi cabaran baharu sebelum hari penamaan calon 25 April untuk memujuk penyokong calon yang digugurkan. Di Marudi, Datuk Sylvester Entri Muran hingga awal minggu ini masih mengharapkan untuk dipilih semula, tetapi harapannya berderai.

Henry (kiri) dan Dr Penguang (kanan)
Henry (kiri) dan Dr Penguang (kanan)

Kemungkinan berlaku unsur sabotaj dalam bentuk tidak memberi kerjasama dalam kalangan penyokong dan calon terbabit tidak dapat diperkecil.

Tindakan Pengerusi BN memilih muka baharu dianggap tepat memandangkan Entri dan Nansian masing-masingnya mewakili kawasan berkenaan untuk empat penggal. “Mereka harus berjiwa besar untuk menerima keputusan Adenan dengan hati terbuka, dan seterusnya memberi sokongan kepada calon muka baharu terbabit.  

Lagipun, kerusi Marudi dan Tasik Biru ialah kerusi asal SPDP, maka memang parti itu yang telah menunjukkan kesetiaan bersama BN, wajar menampilkan calonnya,” kata pemerhati.

Sylvester, setiausaha agung dan Nansian naib presiden Teras merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri yang melompat ke Teras bersama-sama presidennya Tan Sri William Mawan Ikom pada 2014.

Kedua-dua kerusi itu dijangka dapat dimenangi  Dr Penguang dan Henry meskipun bakal berdepan tentangan pembangkang. Penguang menyedari hakikat itu dan telah pun melawat 70 rumah panjang bagi bertemu dengan pengundi dan mengenal pasti masalah dan aspirasi mereka di kawasan majoriti Iban itu.

Sementara itu, ketika becakap kepada media di sini semalam Mawan merayu agar para penyokong parti pimpinannya bertenang ketika berdepan dengan situasi sekarang, dengan menyokong calon SPDP yang dipilih Adenan bagi memastikan kemenagan calon BN. Beliau meminta penyokong mengetepikan perasaan peribadi dan menunjukkan kesabaran serta semangat perpaduan bagi mengukuhkan BN.

“Emosi boleh menggelegak dalam politik. Anda perlu mengawalnya dan tidak boleh meledakkan emosi berkenaan,” katanya sambil mengakui Ketua Menteri telah besikap adil dalam pemilihan calon.

Mawan menyifatkan SPDP masih teman Teras kerana mereka berasal daripada SPDP.

“Kita perlu mengukuhkan dan menyatukan rakyat, Jika anda menganggap SPDP sebagai masalah, mereka akan menjadi masalah, tetapi jika anda anggap mereka sebagai teman, kita akan dapat jalinkan perhubungan yang kukuh.

Sejak hari pertama, Teras telah bertindak sebagai sebahagian daripada keluarga BN” tambahnya memperlihatkan usaha untuk menonjolkan semangat perpaduan menjelang hari penamaan calon pada 25 April dan hari mengundi pada 7 Mei.- Sarawakvoice.com