KUCHING: Datuk Harry Henry Jinep mempunyai alasan sempurna untuk bergembira semalam, kerana setelah beberapa penggal namanya masuk dalam senarai akhir, termasuk di Parlimen Mas Gading, akhirny hari ini beliau diumum calon Barisan Nasional (BN) untuk Dun Tasik Biru.

Berbadan tegap, berbaju biru dan senyum yang sentiasa terukir, usahawan Bidayuh ini melahirkan syukur dengan kepercayaan yang diberikan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan kepadanya.

“Saya hanya dimaklumkan secara rasmi pada pagi ini dan ia amat mengujakan.

“Saya berjanji akan memberikan dan mengekalkan kemenangan yang diperoleh BN sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat PBB petang semalam.

Henry mengakui tidak mudah untuknya bersaing dengan Datuk Peter Nansian Ngusie, kerana wakil rakyat selama empat penggal itu telah melakukan begitu banyak perubahan kepada masyarakat kawasan itu.

“Banyak perubahan dan banyak pembangunan yang beliau laksanakan, termasuk membantu orang miskin, orang yang memerlukan.

“Dan saya akan memikul tanggujgjawab bagi menerukan legasi beliau,” katanya.

Henry (kiri) dan Dr Penguang (kanan)
Henry (kiri) dan Dr Penguang (kanan)

Menurut Henry, beliau berterima kasih atas komitmen yang diberikan Peter selama ini.

“Pada masa yang sama, saya ingin mmenyeru ketua-ketua masyarakat, ketua-ketua kaum yang selama ini bersama-sama Datuk Peter untuk bekerjasama pula dengan saya.

“Ayuh kita bawa kemenangan kepada BN,” katanya.

Beliau menyeru perbezaan yang wujud akibat persaingan sebelum ini perlu ditamatkan, dan semua pihak perlu kembali bersatu.

“Marilah kita sama-sama meletakkan pembangunan Tasik Biru sebagai agenda utama dan lupakan kisah politik ini,” jelasnya.

DUN Tasik Biru merupakan salah satu daripada lapan kerusi majoriti Bidayuh dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Pada 2011, Nansian menang dengan majoriti 2072 undi setelah memperoleh 5,829 undi, menewaskan John Tenewi Nuek (PKR) 3,757 undi dan Frankie Jurem Nyombui (SNAP) 825 undi.

Dalam saingan kali ini, seramai 17,041 pemilih Tasik Biru layak mengundi dengan 50.44 peratusnya adalah lelaki dan 49.56 peratus ada perempuan.

Daripada jumlah tersebut, 157 orang adalah pengundi awal, yang bertugas sebagai anggota polis.

Kebanyakan pengundi Dun Tasik Biru adalah kalangan mereka yang berusia 40-49 tahun iaitu seramai 24.49 peratus manakala 23.43 peratus lagi berusia 50-59 tahun. Ini membayangkan laluan mudah kepada BN dalam pola pengundian pada kali ini. – Sarawakvoice.com