KUCHING: Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof yakin, kebanyakan golongan belia dan muda di negeri ini akan memangkah BN pada pilihan raya negeri kali ini.

Menurutnya, keyakinan ini didorong oleh faktor “Adenan” yang dilihat semakin mencanak dewasa ini.

“Dengan pendekatan yang ‘mesra rakyat’ serta ‘walk the talk’, segala tindak-tanduk Adenan semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda.

Pada masa yang sama, Ketua Menteri juga berperwatakan jujur, tidak berselindung dan berterus terang menyebabkan mereka berasa gembira dan selesa, ujarnya.

Daripada 1.13 juta pemilih berdaftar dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini, lebih 638 ribu atau 56 peratus merupakan pengundi di bawah 50 tahun. Daripada jumlah itu, mereka yang berusia 40 tahun ke bawah adalah 32.40 peratus atau 368,944 pemilih.

Angka ini sebenarnya cukup besar dan berpengaruh dalam pilihan raya negeri seperti kali ini.

“Sumbangan mereka cukup ketara sebenarnya kerana mereka boleh menjadi faktor jatuh bangun mana-mana calon.

“Golongan ini terdedah kepada pelbagai maklumat. Mereka bukanlah generasi yang hanya melihat sesuatu daripada akhbar dan buku, sebaliknya menjadi kelompok ‘it savvy’ yang boleh membuat keputusan sendiri tanpa dipengaruhi,” kata Dr Nadrawina Isnin, pensyarah kanan UiTM Cawangan Sarawak.

Sehubungan itu katanya, sebagai pemimpin bijak, calon-calon yang bertanding tidak harus menabur janji melangit dan mencipta mimpi indah yang tidak tergapai.

“Generasi ini harus menjadi generasi yang bijak dan mampu membuat penilaian kendiri.

“Pada masa yang sama, calon-calon yang bertanding perlu bersikap jujur dan realistik…seperti Tok Nan,” jelasnya.

Mengulas lanjut keyakinannya terhadap pengundi muda, Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata, Ketua Menteri bijak mempersiapkan landasan untuk memastikan pengharapan generasi muda ditunaikan.

“Pembangunan ekonomi yang terancang, terutamanya pelaksanaan berterusan sektor pembangunan seperti Lebuh Raya Pan Borneo memberikan keyakinan berganda kepada mereka.

“Mereka nampak dan merasai akan denyut perubahan ekonomi selain kuasa beli dan gaya kehidupan yang semakin ketara meningkat hari ini … semuanya hasil dinamisme pimpinan BN.

Bahkan kata Fadillah, peluang pekerjaan dan perniagaan dalam pelbagai sektor juga wujud dengan banyak sekali.

Justeru itu katanya, sukar untuk generasi muda ini menolak peranan BN dalam membangunkan kehidupan mereka hari ini.

Malah dengan terpilihnya 15 calon BN di bawah usia 50 tahun Fadillah yakin suara anak muda tidak akan dipinggirkan.

Antaranya termasuklah Allan Siden Gramong di Dun Machan, Fazzruddin Abdul Rahman (Dun Tupong), Miro Simoh (Dun Serembu), Gerald Rentap Jabu (Dun Layar), Mohd Razi Sitam (Dun Saribas), Milton Foo (Dun Pending) dan Peter Pau (Dun Padungan). – Sarawakvoice.com