“Saya tidak pernah lihat seorang Ketua Menteri, apabila sampai ke majlis, beliau terus ke pentas untuk menyanyi dan menari. Suasana seperti ini hanya berlaku di Sarawak, betapa uniknya kepemimpinan di negeri ini”.  Demikian antara reaksi Timbalan Perdana Menteri,  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa menyampai ucapan di Kota Samarahan pada Sabtu, 16 April 2016.

Pada Khamis 14 April  2016, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa tarikh Pilihan Raya Negeri  (PRN) Sarawak ke-11 adalah pada 7 Mei dan hari penamaan calon  pada 25 April.

Kepada Ketua Menteri Sarawak, yang juga pengerusi BN negeri Tan Sri Adenan Satem, PRN bukanlah suatu kerja berat. Sudah lebih lima dekad beliau berkecimpung dalam politik.

Semenjak mengambil alih kuasa pemerintahan negeri Sarawak daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada Februari 2014, Adenan mempunyai masa selama dua tahun lebih untuk mendekati pengundi.

Mesej yang beliau ingin sampai selama ini amat jelas; pembangunan, autonomi (pembuatan keputusan), pendidikan, tadbir urus yang baik ‘hormat’ kepada semua kumpulan etnik dan agama menjadi tonggak utama kepimpinan beliau.

Mengikut Zahid, Adenan telah melaksanakan 53 keputusan penting sepanjang dua tahun pentadbirannya. Semasa berucap di majlis yang sama, Adenan hanya meminta satu penggal sahaja daripada pengundi untuk bukti apa yang beliau mampu lakukan untuk Sarawak.

Pembaharuan yang dilakukan selama ini seperti rundingan semula kadar royalti minyak dengan kerajaan pusat, dengan penghapusan tol, penghapusan cukai tanah, pelaksanaan Lebuh Raya Borneo Utara dan sebagainya memang disambut baik oleh pengundi Sarawak. Sebab itulah di kebanyakkan kawasan beliau lawati, aura yang dirasakan bukan seperti suasana kempen politik, tetapi lebih kepada sesi ramah mesra antara pemimpin dan rakyat.

Dalam kem BN negeri, daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan, hanya tiga kerusi yang lagi belum diumumkan calonnya, iaitu di Tasik Biru, Meradong dan Marudi.

Masalah dalaman antara SUPP dan serpihannya UPP dan SPDP dengan seterusnya Teras diselesaikan oleh Adenan dengan memperkenalkan calon langsung.  Mengikut Adenan, calon langsung ialah calon yang diberi keistimewaan bagi mewakili BN dengan menggunakan lambang dacing. Selepas PRN, semua calon boleh memilih mana-mana parti komponen BN yang ada untuk mereka menjadi ahli.

Sehingga kini sebanyak 13 orang calon langsung telah dinamakan. Daripada jumlah itu, UPP mendapat sebanyak tujuh kerusi (Opar, Mambong, Dudong, Bawang Assan, Pelawan dan Pujut), PBB mendapat 3 kerusi (Serumbu, Bukit Semuja dan Mulu) dan selebihnya tiga kerusi lagi diberikan kepada Teras (Pakan, Bekenu dan Batu Danau).

Suara-suara tidak puas hati terhadap pembahagian tersebut sudah pasti ada khususnya bagi SUPP yang hanya diperuntukkan sebanyak 12 kerusi sahaja pada kali ini. Begitu juga dengan SPDP yang setakat ini hanya mendapat sebanyak  dua kerusi sahaja iaitu di Krian dan Meluan. SPDP berharap agar kerusi tradisi mereka sebelum ini, iaitu Tasik Biru  dan Marudi terus kekal kepada mereka.

Musuh sebenar kepada BN Sarawak ialah DAP yang sentiasa memainkan isu melibatkan skandal politik, kronisme dan korupsi. Semasa PRN 10 yang lalu, DAP berjaya menang sebanyak 12 kerusi Dun. Di bawah kepimpinan Tan Sri Adenan Satem isu-isu tersebut boleh dikatakan tidak lagi relevan.

Sarawak dianugerahkan dengan kekayaan pelbagai budaya dan etnisiti dan Adenan telah membuktikan beliau ialah pemimpin terbaik untuk rakyat Sarawak, bukan satu kaum sahaja. Sebab itulah beliau tidak mahu komuniti Cina digelar sebagai pendatang di Sarawak.

Kebebasan beragama, merapatkan jurang pembangunan, menyediakan lebih banyak kemudahan kepada penduduk luar bandar, kuasa lebih banyak dalam hal-hal pentadbiran negeri daripada pusat, pendidikan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan adalah agenda utama pasukan Adenan.

Adenan Satem ialah fajar baharu untuk Sarawak. Beliau telah menunaikan apa yang rakyat mahukan dan bukan sekadar janji kosong. Menolak Adenan adalah suatu pengkhianatan untuk rakyat Sarawak! – Sarawakvoice.com