SIBU: Tiada lagi Teras dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) selepas  pilihan raya negeri Sarawak 7 Mei, lapor The Star Online yang memetik Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Datuk Seri Tiong King Sing.

Maksudnya, menurut pemerhati politik, dua parti serpihan berkenaan terpaksa dibubarkan, kerana peluang mereka untuk diterima menyertai Barisan Nasional adalah tipis selagi parti komponen lain menentang.

Sebelum ini, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan SPDP menentang kemasukannya, sehingga Teras dan UPP terpaksa mengisytiharkan dirinya sebagai mesra BN.

Untuk diterima masuk, sesuatu parti perlu mendapat konsesus daripada parti komponen lain.

Teras  dan UPP merupakan parti serpihan SPDP dan SUPP masing-masingnya.

Teras ditubuhkan selepas Tan Sri William Mawan Ikom, Presiden SPDP keluar parti berkenaan bagai nahkoda meninggalkan kapal, selepas beliau hendak disingkirkan oleh parti terbabit.

Mawan bersama-sama Datuk Seri Wong Soon Koh menubuhkan Teras, tetapi tidak berapa lama kemudian  Wong keluar Teras untuk menubuhkan UPP.

UPP ditubuhkan selepas berlaku krisis kepemimpinan dalam SUPP yang berlarutan selama lebih dua tahun.

Presiden SPDP berkata, perkara berkenaan disampaikan Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Razak pada Ahad, di hadapan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

“Perdana Menteri mengesahkan tidak akan ada lagi Teras dan UPP selepas pilihan raya,” kata akhbar itu memetik Tiong. Tiong  memberitahu demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tiga jam Majlis Tertinggi SPDP di sini malam tadi.

Bagi meleraikan masalah perebutan kerusi dan calon, Adenan mengemukakan strategi calon langsung, tetapi ia telah mencetuskan rasa tidak senang di pihak parti terbabit.

Calon langsung disyaratkan berundur dari parti, dan selepas pilihan raya mereka dibenarkan memilih parti komponen BN.

Ditanya sama ada Adenan bersetuju dengan pendirian Najib bahwa Teras dan UPP perlu dibubarkan, Tiong sebagaimana dipetik akhbar itu berkata: “Bersetuju atau tidak, saya tak tahu. Bagaimana saya boleh masukkan kata-kata dalam mulut orang lain?”,  sambil menambah mana-mana calon yang menang boleh menyertai SPDP.  

“Mereka perlu terlebih dahulu memohon jadi ahli. Mengenai kedudukan dalam parti, terpulang kepada delegasi memutuskannya,” tambah beliau.

Bagi pemerhati politik isu berkaitan UPP dan Teras perlu diselesaikan secara muktamad, dan tidak boleh dibiarkan berlarutan, kerana ia boleh mencetuskan konflik dan mewujudkan ketidakstabilan dalam BN.

Jalan penyelesaian yang tuntas perlu dicari  supaya masalah berkenaan tidak berulang menjelang Pilihan Raya Umum dan pilihan raya negeri akan datang. – Sarawakvoice.com