SIBU: Rakyat Sarawak perlu melihat projek lebuh raya Pan Borneo yang sedang dilaksanakan kini sebagai projek mereka sendiri, bukannya projek “orang besar dan kontraktor besar”, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Menurutnya, projek itu bukan seperti projek mega lain yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Sebaliknya ia merupakan projek yang mengarusperdanakan negeri ini, yang menghubungkan kawasan pedalaman dan luar bandar ke bandar serta membolehkan mereka membawa hasil pertanian dari luar bandar ke pasaran secara lebih dekat lagi,” tegasnya ketika merasmikan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Jejaran Simpang Bintangor ke Jambatan Sungai Kua di jambatan Durin dekat sini, pagi ini.

Projek ini jelasnya, adalah salah satu usaha transformasi luar bandar yang memberi kesan kepada orang perseorangan, kontraktor kecil kelas F dan konsultan-konsultan… dengan anak-anak negeri Sarawak akan dapat pekerjaan dan menikmati limpahannya.

” Pada masa yang sama, ia juga ‘game changer’ yang mendekatkan kawasan luar bandar dengan pasaran,” tegasnya kepada lapan ribu tetamu yang hadir.

Najib berkata, projek ini bukan seperti projek mega lain, iaitu Projek Empangan Hidroelektrik Bakun yang di atasnya ada tasik besar dan ada talian, tetapi rumah panjang di bawahnya tidak ada elektrik.

Sebaliknya projek Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM16 bilion ini merupakan projek yang harus dirasai pemilikannya oleh seluruh rakyat Sarawak.

” Ada rasa pemillikan. Projek ini bukan projek orang besar punya. Projek ini bukan kontraktor besar punya. Projek ini adalah milik untuk rakyat Sarawak. Rakyat kebanyakan di Sarawak akan mendapat manfaat dan faedah daripada projek ini.

Tegasnya, kesilapan Bakun tidak harus diulangi, apabila pemimpin terdahulu (Tun Mahathir) memberi projek ini kepada mereka yang tak mampu membuatnya.

Untuk tujuan projek ini, hampir 78 syarikat bumiputera dapat peluang untuk melaksanakan jejaran ini, dengan nilai RM533 juta.

Jejaran sepanjang 76.24 km itu akan disempurnakan melalui tiga seksyen, melibatkan naik taraf jalan sedia ada dari dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala termasuk pembinaan dua persimpangan bertingkat, 79 hentian bas, 7 jejantas dan 46 pusingan P atau U-turn dan satu hentian sebelah yang akan dibina di Julau. Keseluruhan kos dianggarkan bernilai RM1.7 bilion.

Ini merupakan pakej keempat daripada 12 pakej keseluruhan lebuh raya ini.

Menyentuh perihal politik, Najib menyeru rakyat negeri ini menyokong gengnya, Tan Sri Adenan Satem pada pilihan raya kali ini.

Gengnya ini katanya, bekerjasama baik dengan Pusat untuk memacu “harapan baharu” pembangunan di Sarawak dan bukannya seperti mimpi “Impian Sarawak”, yang dilaung kosong oleh pembangkang. – Sarawakvoice.com