BETONG: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam berkata, beliau mahu melihat Sarawak membangun seiring negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Sebagai ‘apai besar’ Malaysia, satu-satunya perkara yang belum berjaya saya laksanakan ialah soal pembangunan dan meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan rakyat Sarawak.

“Ia akan segera kita laksanakan bagi membolehkan negeri ini seiring dengan negeri-negeri lain di Semenanjung,” katanya sewaktu merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Betong di Mid-Layar, dekat sini.

Najib berkata, kerjasama erat di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang diibaratkan sebagai ‘keluarga besar Barisan Nasional’ memungkinkan banyak projek yang dahulunya disifatkan sebagai mustahil untuk dilaksanakan, kini menjadi kenyataan.

Pembangunan ini katanya, dilaksanakan secara adil dan seimbang di antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Sebagai kerajaan yang prihatin, kita terhutang budi kepada masyarakat luar bandar yang telah menjadi penyokong kuat kerajaan BN (Barisan Nasional) sejak dahulu lagi.

“Tidak rugi untuk kerajaan BN membelanjakan wang bagi membangunkan kawasan luar bandar ini, kerana mereka telah banyak berbudi,” katanya

Menurut Najib, kerjasama erat di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri telah merangsang pembangunan di negeri ini.

“Ini dibuktikan dengan kewujudan RTC Betong yang jelas menguntungkan semua pihak.

“Menerusi inisiatif ini, pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri dan pusat boleh dihubungi di bawah satu bumbung, dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk rakyat tempatan.

Kerajaan Pusat katanya, menggunakan pendekatan berpusat seperti RTC Betong ini untuk memastikan kegiatan ekonomi penduduk luar bandar boleh dikomersialkan secara bersepadu.

“Ia amat sesuai dengan geografi di negeri ini apatah lagi dengan kedudukan perkampungan dan rumah panjang yang berada berselerak di kawasan luar bandar Sarawak.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, RTC Betong yang terletak berhampiran Lebuh Raya Pan Borneo akan memberi akses mudah kepada pengguna laluan itu serta masyarakat setempat untuk memperoleh manfaatnya.

“RTC ini akan mengubah landskap luar bandar dan menarik perhatian pelabur, membekalkan peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi, selain mengelakkan penghijrahan generasi muda ke bandar.

“Sebaliknya mereka terus tinggal dan membantu membangunkan kawasan ini.”

Ismail Sabri berkata, setakat ini, Sarawak mempunyai dua RTC. Tujuh RTC lain terletak di Perak, Kelantan, Pahang, Johor, Kedah, Terengganu dan Melaka. – Sarawakvoice.com