MARADONG: Menjelang jam-jam terakhir  calon kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Maradong hendak diputuskan, lobi-melobi dan usaha bagi membuktikan penguasaan dan pengaruh di kerusi  berkenaan dilakukan oleh parti terbabit, dengan Parti Rakyat Bersatu (UPP) bekerja keras menghimpunkan sekitar 400 tuai rumah  dan penghuni rumah panjang dari sejauh Ulu Strass dan Ulu Binatang  ke satu majlis di sini Jumaat lalu.

0e63e35d-5b97-4033-b45c-b8bce6efa9c1

James Wong, seorang ahli perniagaan tempatan menjadi ayam tambatan UPP, yang diyakininya mampu menang. Manakala Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), pemilik asal kerusi berkenaan, yang ditandinginya pada 2011, mengemukakan Ding Kuong Hiing, mantan Ahli Parlimen Sarikei.

Setakat ini Adenan telah mengumumkan enam calon langsung dari UPP, iaitu   bagi  Mambong-Datuk Dr Jerip Susil, Engkilili-Dr Johnical Rayong,  Dudong – Datuk Tiong Thai King,  Bawang Assan – Dato Sri Wong Soon Koh,  Pelawan – Datuk Janet Lau, dan  Pujut – Dato Hii Kiing Chiong.

Hanya tiga daripada 82 kerusi DUN belum lagi diumumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) hingga pagi Isnin, tetapi difahamkan tiga nama terakhir calon bagi Marudi, Tasik Biru dan Maradong akan diumumkan pagi ini.

Tiga kerusi terakhir itu merupakan antara kerusi yang paling memeningkan kepala Ketua Menteri, kerana sedar bahawa tersalah pilihan bukan sahaja menyebabkan calon BN kecundang, tetapi mengheret parti terbabit ke dalam kancah krisis.

Masa sudah tidak lagi menyebelahi Adenan, dan beliau perlu segera mengumumkan nama calon terbabit agar keresahan dan teka-teki tidak berlarutan, kata pemerhati politik.

Pilihan raya akan diadakan pada 7 Mei, manakala hari penamaan calon 25 April, memberi 12 hari tempoh berkempen untuk  sekitar 15 parti yang bakal bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-11, setakat ini.

Sumber di Petrajaya memberitahu bahawa, keputusan telah pun dibuat Adenan, dengan mempertimbangkan pelbagai faktor, termasuk sambutan dan kecenderungan pengundi di kawasan terbabit selepas merujuk kepada pelbagai maklum balas daripada akar umbi dan sumber politik berkaitan.

Pertelagahan SUPP dan UPP telah berlarutan lebih dua tahun dalam isu agihan kerusi dan calon, dan Adenan telah memberi peluang kepada mereka untuk berkompromi, tetapi hingga tarikh akhir Disember lalu, mereka gagal mencapai kata sepakat kerana masing-masing berkeras tidak mahu berganjak.

UPP yang diterajui Datuk Seri Wong Soon Koh  pada 2014 merupakan parti serpihan daripada parti tertua Sarawak ekoran krisis dalaman merebut kepemimpinan parti.

Jejakan akar umbi mendapati jika kedua-dua parti itu tidak melakukan sabotaj-mensabotaj, sebaliknya menggemblengkan tenaga, sumber dan tumpuan, kemungkinan kerusi itu dapat dirampas kembali daripada DAP.

Pada pilihan raya negeri ke-10, calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Ting Tze Fui memperoleh 6,884 undi, bagi menewaskan calon BN daripada SUPP, Ling Kie Kiong yang sekadar mengutip 4,197 undi.

Tze Fui mempertahankan kerusi itu untuk kali kedua dengan majoriti 2,687 undi.

Seorang pemerhati politik Cina berkata, SUPP memang mempunyai pengaruh lebih kuat dan menyeluruh di Maradong berbanding di Repok.

Dalam usaha menarik undi masyarakat Bumiputera di kerusi terbabit, beberapa minggu lalu, Adenan berkata, penting untuk rakyat di kawasan ini memastikan ahli politik yang dipilih kelak adalah yang benar-benar berfungsi dan dapat menjamin pembangunan berterusan di situ.

“Jika kita tidak ada solidariti, berpecah-belah … gagal bersatu maka kita hilang kuasa penentu.

” Perpecahan ini akan merugikan kerana ia akan menyebabkan rakyat di kawasan ini bukan sahaja ketinggalan, malah terpinggir,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Bola Keranjang Bintangor, dekat sini.

Jelas Pengerusi BN Sarawak itu lagi, perpaduan adalah perkara yang penting bag menjadikan suara 40 peratus pemilih Bumiputera di kawasan itu didengari.

”Dengan suara ini, saya pasti kita akan dapat menentukan siapa menang dan siapa kalah dalam pilihan raya nanti,” katanya.

Pada majlis yang sama, Adenan menyeru penduduk di kawasan itu agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang diterima tanpa menyelidik akan kesahihannya.

“Jika ragu-ragu dan tidak pasti, tanyalah saya. Berjumpalah dengan mereka yang selayaknya untuk memberi maklumat.

“Dalam menoa tok, akulah apai ….Jamilah lah indai kitak, ” katanya, merujuk kain rentang yang dibawa oleh penduduk di kawasan tersebut yang tertulis: “Kami rakyat di Meradong, nadai apai, nadai indai, minta Barisan Nasional tolong kami”.

Tegas Adenan, adalah menjadi tanggungjawab penduduk di kawasan itu untuk memastikan wakil rakyat BN merebut kembali kerusi tersebut dan menjadi wakil mereka selepas PRN akan datang.

”Setelah itu, saya akan pastikan bantuan dan permintaan penduduk di sini akan kita usahakan,” jelasnya. – Sarawakvoice.com