KUALA LUMPUR: Tindakan Ketua Menteri Sarawak  menyekat pemimpin pembangkang, terutama DAP  daripada menjejakkan kaki di bumi Sarawak menjelang pilihan raya pada 7 Mei  dan menampilkan calon tauke sebagai calon langsung merupakan dua strategi dan senjata ampuh beliau untuk menumpaskan DAP di kerusi majoriti Cina di bandar.

Sekatan dikenakan terhadap pemimpin pembangkang bukan sangat kerana mereka bersikap fanatik atau ekstremis sehingga mampu menggoncangkan kesepaduan sosial dan agama tetapi lebih untuk melemahkan pembangkang terutama dalam tempoh kempen dari 25 April hingga 6 Mei ini, kata pemerhati politik di ibu negara.

“Kalau betul mereka ini berbahaya dan dapat menggoncangkan fabrik sosial dan agama, mengapa mereka dibenarkan pula memasuki Sarawak selepas pilihan raya. Adakah dalam sekelip mata mereka tidak lagi berbahaya dan berubah?” tanya beliau.

Langkah itu terpaksa diambil oleh pengerusi Barisan Nasional (BN) itu kerana menyedari kelebihan dan kehebatan sebahagian daripada pemimpin politik berkenaan di atas pentas politik semasa berceramah dan berkempen.

Begitu mahir dari segi daya tarikan memikat khalayak seperti dibuktikan pada pilihan raya 2011, pemimpin DAP terbabit, mampu membujuk pengundi dengan teknik pembujukan dan propaganda yang ampuh.

“Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terbabit sukar ditandingi wakil rakyat BN Sarawak dari segi pengucapan awam. Justeru, jalan terbaik adalah dengan mewujudkan gelanggang permainan tidak sama rata,” tambahnya.

Pada 2011, DAP menguasai 12 kerusi majoriti Cina di bandar, sekali gus menjadi isyarat awal berlakunya tsunami politik pada pilihan raya umum 2013.

“Ujian dan penanda aras sebenar kejayaan Tan Sri Adenan Satem bukannya mendapat majoriti dua per tiga daripada 82 kerusi DUN Sarawak, tetapi sebanyak mana kerusi Cina berkenaan dapat dirampas daripada DAP. Dengan dua per tiga kerusi terletak di luar bandar, tugas itu tidak terlalu berat bagi beliau apatah lagi penarafan popularitinya berada pada paras 85 peratus,” katanya.

Untuk mencatatkan kemenangan dua per tiga, BN perlu memenangi 55 kerusi.

Strategi lain, menurut pemerhati itu ialah lah menggemblengkan calon daripada kalangan taikun atau tauke dan ahli perniagaan yang mempunyai banyak sumber kewangan, menguasai media, sumber manusia, dan sumber-sumber lain.

Untuk itu, Adenan memilih tauke dan ahli perniagaan daripada Kumpulan RH, Kumpulan KTS,  Kumpulan Delta dan Kingwood, serta kumpulan kewangan Foochow yang lain untuk menentang parti pembangkang yang diakui lemah dari segi kewangan tetapi hebat dari segi strategi kempen, berbanding dengan BN.

Bagi menggerakkan kempennya DAP terpaksa meminta derma daripada orang ramai, ketika BN ditaja oleh syarikat dan individu berkaitan, yang sebahagiannya mendapat projek dan juga tanah daripada kerajaan negeri.

Sekurang-kurang lima orang calon BN, termasuk empat calon langsung merupakan golongan taikun dan tauke.

Pembabitan tauke dan taikun dalam politik Sarawak bukan baharu, kerana wang dan politik adalah bagai minyak pelincir yang menggerakkan jentera politik dan kempen, apatah lagi jika persaingan semakin sengit, maka wang semakin banyak ditaburkan, kata beliau.

Isu agihan kerusi menjadi begitu kontroversi, khususnya membabitkan calon langsung sehingga boleh membawa kepada tindakan sabotaj-mensabotaj dan konflik berpanjangan dengan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dikatakan mengadakan mesyuarat tergempar di Sibu semalam.

Era pemerintahan Tun Abdul Rahman Yakub sebagai Ketua Menteri pada 1970 hingga 1981, merancakkan segalanya walaupun ia telah pun berlaku sebelum itu.

Fenomena tersebut berlarutan selepas Tun Abdul Taib Mahmud mengambil alih kuasa, dan ia menjadi rahsia umum apabila kedua-dua pemimpin saling mendedahkan senarai konsesi balak berkeluasan di luar imaginasi rakyat Sarawak melalui The Sarawak Tribune dan People’s Mirror ketika peristiwa Ming Court tercetus pada 1987, membawa kepada pilihan mengejut pada tahun tersebut.

Sesungguhnya, kata pemerhati politik itu lagi, politik tanah dan balak tidak dapat diasingkan daripada dunia politik Sarawak.

“Tauke sentiasa memainkan peranan sebagai penyuntik dana untuk pemimpin politik, dan peranan mereka bertambah penting menjelang pilihan raya,” tambahnya.

Enam syarikat besar di Sarawak yang diingatkan oleh Adenan tahun lalu agar tidak ‘main-main’ dengan beliau ialah Shin Yang, Ta Ann, WTK Holdings Bhd, Kumpulan KTS dan Kumpulan RH.

“Dengan menggemblengkan dua strategi berkenaan, Adenan mampu bertarung dengan pembangkang semaksimum mungkin bagi memastikan kemenangannya.

Pembangkang dapat dikalahkan oleh kekuatan perniagaan dan kewangan kumpulan Foochow kerana mereka menguasai media, wang, modal insan, logistik, jentera pilihan raya, dan sebagainya,” tambahnya.- Sarawakvoice.com