KUCHING:  Bagai menggambarkan gelora dan kekecewaan yang terpendam ditanggung parti, calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi kerusi Pending tidak lagi dapat mengekangnya, lantas menyemburkan kemarahan dan kekecewaannya itu terhadap Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Kenyataan  mengingatkan pengundi, betapa air yang tenang jangan disangka tiada buaya, dengan bertindak seolah-olah tiada masalah dan krisis.

Tindakan Milton Foo itu bukan sahaja dianggap berani dan jarang-jarang dilakukan bakal calon, tetapi jelas memperlihatkan reaksi  parti terbabit  terhadap bagaimana agihan kerusi dan pemilihan calon langsung memberi dampak besar  terhadap parti tertua itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam, calon Pending itu  meledakkan kemarahannya dengan berkata bahawa tanpa berunding dengan parti tertua itu, Adenan melakukan pusing U atau mengubah pendiriannya dengan mengumumkan calon langsung BN yang tidak dicalonkan SUPP.

“Sekarang anda buat keputusan sendiri tanpa perundingan dengan parti komponen BN. Apakah bezanya tindakan itu dengan tindakan Putrajaya membuli Sarawak daripada menjadikannya satu daripada tiga bertukar menjadi satu daripada 13,”merujuk bagaimana kedudukan Sarawak  sebagai satu daripada tiga ‘negara’ yang membentuk Malaysia, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak, selepas Singapura keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.

“Jangan lakukan kepada orang lain apa yang anda tidak mahu lakukan kepada anda sendiri,”katanya memetik ungkapan aforisme yang popular  daripada falsafah Cina.

“Anda mahu Sarawak dapatkan autonomi, tetapi anda sendiri yang menginjak-injakan maruah parti yang menjadi sekutu anda. Rakyat mahu melihat seorang ketua menteri yang mengotakan janjinya, bukan yang bersifat autoritatif  dan kuku besi  untuk menerajui Sarawak mendapatkan autonomi dan kepentingannya,” kata beliau dalam kenyataan yang amat berbisa dan lantang itu.

Kata Foo; “Saya tidak teragak-agak untuk bercakap benar, sebab anda sebagai pemimpin yang sudah lanjut usia perlu mendengar kebenaran, bukannya kata-kata mengampu. Walau saya kehilangan peluang sebagai calon, saya perlu bercakap benar,” katanya tegas bagai menghiris terus ke  jantung Adenan yang berusia 72 tahun itu.

“Sebagai ketua negeri anda tidak boleh tukar keputusan dengan mudah, raja tidak pernah berlelucon. Dasar tidak boleh ditukar sekelip mata. Ini akan mencetuskan kebencian dan penderitaan dalam kalangan rakyat.”

Meskipun anda telah laksanakan banyak dasar yang memberi manfaat kepada rakyat,  tetapi ini bukan bermakna anda boleh terlepas daripada pemantauan dan penilaian terutama dalam kerajaan.

Sejak menerajui Sarawak Februari 2014, Adenan telah melaksanakan  sekitar 50 dasar dan keputusan yang disenangi rakyat sehingga penarafan popularitinya mencecah 85 peratus.

Tetapi beberapa tindakan terakhirnya bagi pemerhati politik, termasuk menyekat pembangkang dari memasuki Sarawak dan isu penamaan calon langsung sedikit sebanyak menjejaskan imej beliau.

“Saya akan terus bercakap benar untuk rakyat walau bagaimana tinggi pun kedudukan kerana saya mewakili rakyat, bukannya kuasa. Kuasa politik saya datang daripada rakyat bukan daripada kerajaan, lebih-lebih lagi kuasa itu bukan daripada anda,” tegasnya. – Sarawakvoice.com