KABONG:  Surat beracun terus menjalar di kawasan ini bagai tidak dapat dikekang lagi dengan yang terbaharu  mendakwa segala pergolakan itu berlaku akibat tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kalaka Datuk Wahab Aziz yang berperanan mencatur politik Kabong.

“Semua angkara tamak dan rakus Datuk Abd Wahab Aziz mencatur politik Kabong,” kata surat berkenaan yang mulai tersebar di kampung-kampung dan gerai-gerai di pekan ini sejak subuh pagi tadi.

surat layang kabong 2

Penduduk Islam yang pergi ke surau kira-kira pukul 5 pagi tadi, sebelum mengerjakan solat Subuh  berjumpa surat berkenaan ditabur di kawasan pekan, menurut seorang penduduk di sini.

“Ingatlah BN pernah tewas di Kalaka, kali ini sejarah akan berulang lagi, kerana tamak kuasa,” lanjut surat itu.

Menurut surat berkenaan, enam orang calon diheret oleh Adun berkenaan “macam sapi dicucuk hidung”, dan menambah bahawa Mohd Chee Kadir, 63, merupakan calon pilihan Wahab walaupun menyedari ada calon lain yang lebih disenangi dan mampu menang.

“Kita ajar Datuk Abdul Wahab dan Mohd Chee Kadir. Tumbangkan BN supaya Tok Nan tahu suara rakyat yang protes hingga ke peti undi,” katanya lagi.

Kabong, kerusi baharu dengan memecahkan sebahagian daripada kerusi Kalaka.

Terdapat 9,287 pengundi dengan 65 peratus Melayu dan 25 peratus Iban, manakala etnik lain 10 peratus di kerusi ini.

Sejak awal kerusi ini bagai sudah kelihatan bermasalah dari segi pemilihan calon.

surat bn kabongKetua Menteri Tan Sri Adenan Satem bersua dengan calon berpotensi di sini dan juga di pejabatnya di Kuching bagi mendapatkan ikrar mereka agar menyokong sesiapa sahaja yang dipilih.

Api kemarahan terus membara di kerusi baharu ini menandakan ada sesuatu yang tidak kena dengan pemilihan calon.

Dua hari lalu, bendera Barisan Nasional  diterbalikkan di atas pentas membayangkan kekecewaan dan kemarahan sebahagian pengundi terhadap calon yang dipilih.

Surat layang yang banyak bertebaran pula, tidak diketahui siapa penyebarnya menggambarkan penolakan penduduk terhadap calon yang dipilih Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Mereka menggunakan saluran berkenaan sebagai tanda protes kekecewaan terhadap kepemimpinan parti yang seolah-olah tidak mendengar suara hati mereka yang mahu calon yang lebih mampu menang.

Penggunaan surat layang membayangkan cara tradisional era dekad sebelum munculnya internet masih lagi relevan di kawasan luar bandar di Sarawak.

Sementara itu, antara masalah yang perlu diselesaikan oleh wakil rakyat nanti ialah masalah bekalan air bersih dan tekanan air rendah yang menyulitkan penduduk dan pengundi setia BN untuk berpuluh-puluh tahun.

Politik pembangunan perlu direalisasikan agar pengundi tegar BN turut dapat menikmati kemakmuran negara dan dibawa ke dalam arus perdana pembangunan, dan bukannya sekadar berada di pinggiran. – Sarawakvoice.com