SIBU:  Debaran kian kencang dalam kalangan pemimpin  dan ahli empat parti terbabit ketika  nama bagi tiga lagi kerusi  untuk melengkapkan  senarai 82 calon Barisan Nasional (BN)  masih lagi menjadi tanda tanya.

Tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun)  yang masih belum diumumkan calonnya ialah Tasik Biru, Marudi dan Meradong.

Khamis lalu, Ketua Menteri mengumumkan lima calon BN untuk pilihan raya negeri ke-11 (PRN-11), sekali gus meletakkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Bersatu (UPP), dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan Teras, terus tidak dapat tenang memikirkan nasibnya.

Bagi parti asal BN, SUPP dan SPDP, mereka telah menyaksikan bagaimana harapan awal untuk menambahkan jumlah kerusi, atau sekurang-kurangnya mengekalkan jumlah kerusi asal mereka.

Pada 2011, SUPP bertanding di 19 kerusi, termasuk kerusi Maradong, manakala SPDP 8 kerusi, termasuk Tasik Biru dan Marudi. SUPP tewas di 13 kerusi dan SPDP dua kerusi.

Tiga kerusi terbabit merupakan kelompok terakhir untuk melengkapkan senarai menjelang hari-hari terakhir penamaan calon pada 25 April ini yang dilakukan Adenan secara berperingkat-peringkat, satu tindakan yang berlainan dengan strategi  mantan Ketua Menteri Tun Abdul Taib Mahmud.

Langkah demikian, bagi pemerhati membayangkan kesukaran yang dihadapinya dalam mengagihkan kerusi dan memuktamadkan calon bagi memastikan kemenangan ketika lobi-melobi dan perundingan di belakang tabir dikatakan sengit.

Satu kerusi majoriti Bidayuh, Tasik Biru dan satu lagi majoriti Iban, Marudi,  menjadi pertaruhan, dan SPDP berkeras mahu mempertahankan kerusi yang diwakili mereka sejak beberapa pilihan raya lalu.

Manakala penyandangnya yang menang atas tiket SPDP tetapi kemudiannya mengikuti Tan Sr William Mawan untuk menubuhkan parti baharu, Teras, menuntut kerusi itu.

Di Marudi, Adenan telah mengumumkan calon Teras, Sylvester Entri Muran beberapa bulan lalu, ketika SPDP di bawah kepemimpinan Datuk Seri Tiong King Sing menampilkan calonnya Datu Dr Penguang Manggi yang mempunyai pengaruh yang tidak kurang hebat di akar umbi.

Bagi kerusi Tasik Biru, Adenan telah memberi peluang kepada kedua-dua calon berpotensi, iaitu penyandang Datuk Peter Nansian dan calon SPDP, Datuk Henry Jinep untuk membuktikan ‘kekuatan’ mereka masing-masing melalui dua majlis berasingan sebelum keputusan dibuat walaupun hakikatnya, jumlah yang hadir bukanlah ukuran tepat dalam membuat penilaian.

Mengapa Adenan tidak bersedia untuk menggugurkan penyandang menjadi persoalan banyak pihak, kerana hakikatnya, mereka telah pun  mewakili kawasan berkenaan untuk beberapa penggal.

Adenan, kata pemerhati, perlu memberi pertimbangan serius tentang parti yang setia dan telah lama timbul dan tenggelam bersama Barisan Nasional, dan bukannya kepada parti baharu.

Setakat ini, Pengerusi BN Sarawak  telah menamakan calon langsung dari Teras bagi kerusi Tasik Biru, Meluan, Bekenu dan Batu Danau, manakala Samalaju dan Mulu kepada calon langsung yang ada kaitan dengan  Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) – satu tindakan yang membimbangkan parti komponen termasuk Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang melihat dominasi parti tulang belakang BN itu.

Masa tidak menyebelahi Adenan, dan mengikut pemerhati politik, beliau sudah sepatutnya memuktamadkan senarai calonnya, kerana lagi lambat keputusan diambil, lagi tidak baik bukan sahaja untuk calon berpotensi, tetapi untuk BN.

UPP pula mahu Maradong diserahkan kepadanya. SUPP telah menamakan calonnya Ding Kuong Hiing, manakala UPP pula mahu calonnya James Wong Hua Kiong mahu mewakili BN bagi kerusi majoriti Cina itu.

Semalam, Pelawan telah turut diberi kepada calon langsung Datuk Janet Lau dari UPP — menghiriskan lagi kekecewaan dan luka ditanggung SUPP.

Seperti sambutan terhadap Penguang di Marudi termasuk daripada penghuni rumah panjang di sekitar, sokongan pengundi di Maradong terhadap mantan Ahli Parlimen,  juga luar biasa. Pada malam Jumaat sekitar 5,000 orang menghadiri majlis anjuran SUPP, dan bagi pemerhati semua itu perlu diambil kira Ketua Menteri ketika membuat keputusan.

Dalam usaha untuk menangani masalah berkenaan, Ketua Menteri telah menggunakan calon langsung. Setakat ini 13 calon langsung telah dikemukakan, namun penganalisis percaya strategi itu bukan jalan penyelesaian muktamad, kerana ia mengundang kekecewaan dan tidak puas hati di kedua-dua pihak, terutama parti asal yang  terhakis jumlah kerusi asal.

“Kekalutan selepas hari penamaan calon dan selepas keputusan diketahui juga sudah dapat dibayangkan,” kata pemerhati berkenaan.

Disebabkan tidak puas hati dengan perkembangan terkini yang jelas tidak memihak kepadanya SPDP difahamkan mengadakan mesyuarat tergempar di beberapa bandar di negeri ini. Mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi parti dikatakan akan diadakan hari ini di Sibu.  – Sarawakvoice.com