SRI AMAN: Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan era tong biru sudah tidak releven dan rakyat mahukan kerajaan menyalurkan paip dengan air bersih terus ke rumah para penduduk terbabit di kerusi Beting Maro.

Amanah mendakwa, Barisan Nasional mengambil jalan pintas menyelesaikan masalah air ini dengan mengedarkan tong biru kepada setiap penduduk.

tong biru
Gambar hiasan

“Tong biru ini diedar setiap kali menjelangnya musim Pilihanraya namun tidak semua penduduk memperolehnya,” kata penyelaras  Amanah Dun Beting Maro, Andri Zulkarnaen seperti dimuatkan dalam catatan Facebooknya.

Amanah yang dijangka bertanding di Beting Maro  dijangka akan membangkitkan isu  air dan tanah  yang dihadapi penduduk termasuk di Pusa.

“Sekian lama masalah air yang membelenggu penduduk di Pusa dan sekitarnya, tidak nampak jalan penyelesaiannya,”

Bagi Amanah, tindakan kerajaan BN mengambil jalan pintas menyelesaikan masalah itu, dengan mengedarkan tong biru kepada setiap penduduk tidak menyelesaikan masalah pada jangka panjang.

“Tong biru ini diedarkan setiap kali menjelang pilihan raya, namun tidak semua penduduk memperolehnya,” katanya.

Bagi pakar komunikasi politik, tong biru sebenarnya menandakan lambang warna Barisan Nasional bagi memastikan penduduk supaya sentiasa ingat akan lambang warna berkenaan.

Amanah akan bertanding  di 13 kerusi, dengan semua calonnya anak jati Sarawak, namun kerusi terbabit belum dinamakan.

Berbanding dengan Pas yang hanya akan bertanding di 11 kerusi, Amanah yang ditubuhkan pada tahun lalu, dengan sekitar hanya 2,000 ahli dianggap bercita-cita terlampau tinggi.

Dengan usia hanya setahun jagung, ia tidak mempunyai jentera akar umbi yang kukuh dan sukar berdepan dengan calon Barisan Nasional.

Pada pilihan raya 2011, Pas melalui calonnya Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus hampir menawan kerusi majoriti Melayu itu apabila calon PBB-BN Razali Gapor hanya menang dengan majoriti 391 undi.

Razali menguasai 52.8 peratus undi, manakala Abang Ahmad 46.1 peratus undi daripada 5,808 pengundi yang turun mengundi. Terdapat 7,868 pengundi berdaftar di kawasan itu.

Presidennya, Mohamad Sabu dilarang daripada memasuki Sarawak sehingga selepas pilihan raya negeri dalam  apa yang dianggap sebagai percubaan untuk mewujudkan gelanggang tidak adil kepada pembangkang oleh pemerhati politik.

Ketua Menteri memberi justifikasi bahawa langkah itu diambil bertujuan untuk melindungi kepentingan Sarawak daripada diancam anasir yang boleh merosakkan keharmonian dan kesepaduan sosial di negeri ini.

Difahamkan Amanah telah  mengemukakan rayuan  kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem untuk mempertimbangkan semula keputusan itu.- Sarawakvoice.com