SONG: Kerusi Dewan Undangan Negeri Katibas yang mempunyai 150 rumah panjang Iban dijangka akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), DAP, Sarawak Workers Party (SWP) dan Dayak National Party (DNP) dalam pilihan raya 7 Mei ini.

Setiausaha Agung SWP Munan Laja dijangka akan menentang Ambrose Blikau di kerusi majoriti Iban yang terletak di sini.

Katibas
Katibas

Ambrose Blikau Enturan, 63,  yang telah mewakili kawasan itu selama 37 tahun akan berdepan cabaran lebih getir kali ini walaupun harapannya untuk menang masih ada, dengan undi majoriti yang dijangka berkurangan.

Dalam pilihan raya lalu, Ambrose menguasai 61.6 peratus undi apabila mendapat 3,326 berbanding Munan Laja  (PKR) mendapat 19.8 peratus dan Toh Heng San (SNAP) yang meraih 16.6 undi (897).

Peratusan yang turun mengundi ialah 63.2 peratus daripada 8,542 pengundi berdaftar, dengan majoriti undi diperoleh calon PBB-BN itu ialah 2,256.

Ambrose pernah dilantik sebagai Menteri Muda Perancangan Sumber sejak 1987 dan Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Kemudahan Awam, 2006-2009.

Beliau yang mula mewakili kawasan itu sejak 1979, dan memiliki ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Harriot Wat University, Scotland, United Kingdom perlu mempertahankan kubu kuat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diwakilinya.

Meskipun terdapat rungutan di peringkat akar umbi agar beliau ditukar kerana dianggap sudah terlalu lama mewakili kawasan itu, namun Ambrose disifatkan sebahagian pengundi sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan mudah didampingi penduduk.

Penduduk yang ditemui berkata, banyak peruntukan disalurkan oleh beliau ke kawasan yang diwakilinya. Banyak tuai rumah memberi sokongan agar beliau dicalonkan semula dalam pertemuan Januari lalu.

Katibas merupakan satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri di bawah Kapit. Dua lagi ialah Pelagus dan Bukit Goram.

Sementara itu, akar umbi SWP berkata Munan Laja  merupakan pilihan terbaik ketika ini  kerana percaya kebolehan dan kemampuan beliau untuk memenangi kerusi DUN Katibas.

Munan, 55, merupakan Timbalan Presiden Sarakup Dayak Iban Sarawak (SADIA), selain  pernah menjadi pegawai sebuah agensi kerajaan selama tujuh tahun.

Selain itu, Munan pernah menjadi Ahli Majlis Perbandaran Sibu (Kaunselor) dari tahun 2004 hingga 2008. Ayah beliau pernah menjadi penghulu di kawasan Katibas selama 27 tahun (1961-1988).

Selain SWP, calon DAP turut akan memberi tentangan sengit kepada Ambrose walaupun kehadiran dua calon pembangkang dianggap hanya menguntungkan Ambrose.

Paren Nyawi, 35, mengakui bahawa cabarannya untuk menggalas tugas adalah besar. Calon DNP pula ialah John Esot.

Tetapi bagi calon pembangkang, mereka ingin memperjuangkan isu pembangunan kerana meskipun kawasan itu diwakili BN untuk sekian lama, namun kekurangan pembangunan masih ketara.

Pengundi di Katibas pernah dijanjikan jalan menghubungkan kawasan itu dengan Sibu Jaya.

Kawasan pedalaman ini memberi cabaran besar kepada mana-mana calon untuk meliputi kempen dalam tempoh 12 hari, dari 25 April hingga 6 Mei.

Politik pembangunan dan politik keperluan asas masih lagi relevan, dengan isu berkenaan pembangunan dan kemudahan asas akan bergema lagi, seperti dalam pilihan raya-pilihan raya lalu.-Sarawakvoice.com