KABONG: Api kemarahan terus membara di kerusi baharu ini menandakan ada sesuatu yang tidak kena dengan pemilihan calon.
Dua hari lalu, bendera Barisan Nasional diterbalikkan di atas pentas membayangkan kekecewaan dan kemarahan sebahagian pengundi terhadap calon yang dipilih.
Surat layang yang banyak bertebaran pula, tidak diketahui siapa penyebarnya menggambarkan penolakan penduduk terhadap calon yang dipilih Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.
Menurut penduduk, surat beracun berkenaan telah kedapatan awal pagi semalam, bertebaran di pelbagai tempat termasuk di kampung-kampung dan gerai-gerai di pekan majoriti Melayu itu.
Mereka menggunakan saluran berkenaan sebagai tanda protes kekecewaan terhadap kepemimpinan parti yang seolah-olah tidak mendengar suara hati mereka yang mahu calon yang lebih mampu menang.
Penggunaan surat layang membayangkan cara tradisional era dekad sebelum munculnya internet masih lagi relevan di kawasan luar bandar di Sarawak.
“Bendera Barisan Nasional digantung terbalik seperti payung terjun di kawasan majoriti Iban,” kata seorang penghuni rumah panjang.
Malah, penduduk dan penghuni rumah panjang berkata terus terang akan mengundi calon pembangkang.
Sebelum ini, diura-urakan terdapat enam calon berpotensi, tetapi akhirnya Pengerusi Barisan Nasional Negeri memilih Mohd Chee Kadir, 63, anak tempatan yang lama berpangkalan di Miri.
Beliau ialah Bendahari dan Setiausaha PBB Senadin sejak sekitar 20 tahun lalu.
Menurut jejakan pendapat, nama Abdullah Sulaiman, 47, sebenarnya berada di senarai teratas, tetapi tidak pula diketahui mengapa Adenan akhirnya mengambil jalan lain yang lebih sukar bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Sehingga Jumaat, penduduk tempatan berkata, kelibat beliau belum kelihatan lagi, mungkin masih sibuk dengan pelbagai aktivitinya di Miri.
Beliau difahamkan akan turun ke padang, dalam usaha untuk memadamkan api kemarahan, dan memberi penjelasan tentang isu berbangkit, pada hari ini.

Meskipun kawasan ini sudah digolongkan sebagai hitam oleh pemerhati politik tempatan, namun penganalisis politik percaya, jika terdapat ‘anggota bomba politik’ yang cekap pasti api kemarahan tersebut akan dapat diredakan dalam tempoh 12 hari kempen, dari 25 April hingga 6 Mei.
Pengundi yang ditemui di sini berkata, PBB-BN perlu bekerja lebih keras jika mahu memutihkan atau mengelabukan kawasan itu pada hari-hari mendatang jika ia mahu memastikan kemenangan ketika parti Amanah sudah mulai bergerak aktif dengan pelbagai aktiviti sejak beberapa hari lalu.
Beliau mengakui, sokongan terhadap calon yang dianggap salah pilih itu, berpecah, dan amat perlu strategi komunikasi dan pemasaran politik yang betul digemblengkan di peringkat bawahan, termasuk di rumah panjang.
Terdapat 9,287 pengundi dengan 65 peratus Melayu dan 25 peratus Iban, manakala etnik lain 10 peratus di kerusi ini.
Pengundi berkata, jika PBB benar-benar hendak memenangi kerusi itu, kemungkinan ia perlu memikirkan dengan serius keputusannnya itu sebelum hari penamaan calon pada 25 April.
“Jangan sampai nasi menjadi bubur,” katanya memetik peribahasa Melayu yang mengingatkan agar membuat keputusan yang tepat sebelum menyesal. – Sarawakvoice.com