Monday, November 28, 2022

Kerajaan mansuh “lain-lain” akur permintaan rakyat Sarawak – Zahid

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan bahawa kerajaan akur dan bersetuju kepada cadangan masyarakat Bumiputera Sarawak untuk tidak menggunakan perkatan ” lain-lain kaum” dalam dokumen rasmi kerajaan.

Berucap di hadapan 8 ribu pengunjung semasa melancarkan Program Sejiwa Senada Bahagian Samarahan pagi ini, Zahid menegaskan semua kaum di negeri dan negara ini diiktiraf dan ditakrifkan.

“Melayu, Cina, India, Dayak Iban, Bidayuh, Melanau … dan semua kaum dan suku kaum adalah diiktiraf dan ditakrif, tiada lagi ‘lain-lain kaum’.

“Ini merupakan keputusan jemaah menteri,” tegasnya sambil menerima tepukan gemuruh oleh pengunjung yang hadir.

Isu “lain-lain” ini mula dibangkitkan oleh persatuan-persatuan dan pemimpin dayak di negeri ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebelum diperjuangkan Adenan ke peringkat pusat sejak mengambil alih kepimpinan Ketua Menteri lebih dua tahun dahulu.

Isu “lain-lain” biarpun remeh pada pandangan segelintir pihak, sebenarnya amat penting dan bermakna bagi rakyat Sabah dan Sarawak, kerana ia membuktikan dan mengiktiraf mereka sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia, seperti juga kaum-kaum utama yang lain.

Sarawak memiliki lebih 34 etnik pelbagai kaum di seluruh negeri ini.

Dalam ucapannya juga, Zahid memaklumkan bahawa rakyat Sarawak boleh bersemuka kerana beliau akan “berkampung” di negeri ini dari 25 April hingga 7 Mei bagi membantu jentera pilihan raya negeri.

Zahid menjelaskan, rakyat Sarawak perlu menyokong kepimpinan Adenan kerana beliau seorang pemimpin yang mengutamakan rakyat, serta membuat lebih 50 keputusan yang meringankan beban rakyat.

“Jalinan hubungan di antara Ketua Menteri dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) adalah amat baik, dan tentunya ia untuk kepentingan rakyat keseluruhannya.

“Ini membolehkan rakyat membuat apa sahaja permohonan kepada kerajaan dan kerajaan negeri akan membawa permohonan ini untuk perhatian Perdana Menteri,” tambahnya.

Bukti keakraban ini kata Zahid, dipancarkan menerusi jumlah 49 kali Najib bertandang ke negeri ini, dan beliau sendiri sebanyak 9 kali sejak menjawat Timbalan Perdana Menteri.

Zahid yang dalam lawatan sehari ke Sarawak dijadualkan kembali ke ibu negara jam 4 petang ini selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Lincang Batang, Kampung Entawa, Undop, Sri Aman, pada petang ini. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru