Sunday, August 14, 2022

DAP, PKR bakal cederakan diri sendiri

Secara Rawak

KUCHING: DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghantar isyarat negatif apabila mereka yang pada tahun 2011 dapat menyelesaikan isu tuntutan kerusi bertindih, kali ini bakal bertembung di beberapa kerusi pada 7 Mei.

Ketika gandingan padu amat dituntut bagi menentang Barisan Nasional (BN) di 82 kerusi mereka memilih jalan tidak mahu berkompromi, sekali gus membantu memecahkan undi, dan menguntungkan musuh politik mereka, kata pemerhati politik.

Ketika mereka sepatutnya menyisihkan perbezaan dan berusaha keras untuk menentang calon BN satu lawan satu, pendirian terbaharu semalam tidak menguntungkan kedua-duanya.

Peluru yang sepatutnya disasarkan kepada BN, kini dihala kepada rakan komponen dalam Pakatan Harapan sendiri, dan kedua-duanya akan tercedera, katanya pemerhati itu lagi.

Pengerusi PKR Baru Bian semalam berkata, PKR telah memuktamadkan 40 kerusi yang ditandinginya, menggambarkan pintu perbincangan sudah tertutup.

Baru dalam sidang media berkata, kepemimpinan negeri PKR menggunakan kuasa vetonya untuk tidak membenarkan pemimpin pusat campur tangan perundingan peringkat negeri.

“Kami akan buat keputusan muktamad mengenai kerusi yang kami tandingi berdasarkan hasil KPI kami. Keputusan kami akan dibuat semata-mata berdasarkan kemampuan calon kami untuk menang dan bukan kerana sebab lain,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR negeri, di sini semalam.

pkr baru bian

“Memang  dikesali kerana ada pihak tertentu melihatnya sebagai wajar untuk merosakkan potensi gabungan pembangkang untuk menambah kerusi kami pada pilihan raya akan datang berdasarkan tingkah laku mereka sejak beberapa bulan lepas iaitu ketika rundingan sedang diadakan,” katanya.

Pada 2011, PKR memenangi dua kerusi luar bandar — Ba Kelalan melalui Baru dan Krian melalui Ali Biju, dan kerusi majoriti Cina, Batu Lintang dimenangi See Chee How.

Sementara itu,  Chong Chieng Jen menyalahkan rakan Pakatan Harapan itu yang mengingkari perjanjian agihan awal minggu ini.

“DAP akan berpegang kepada apa yang telah dipersetujui. Sekiranya PKR tidak berpegang pada kata-katanya, akan berlaku pertandingan tiga penjuru,” kata pengerusi DAP negeri itu.

DAP yang enggan bekerjasama dengan PAS akan bertanding di 29 kerusi, termasuk 15 kerusi Dayak, 12 kerusi majoriti Cina dan 1 kerusi majoriti Melayu.

Kerusi Dayak meliputi kawasan majoriti etnik Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Pada asalnya, DAP yang memenangi 12 kerusi daripada 15 kerusi ditandinginya pada pilihan raya negeri ke-10, berhasrat bertanding di 30 hingga 35 kerusi, tetapi mengurangkan jumlah itu selepas perbincangan di majlis presiden di Kuala Lumpur. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru