Monday, August 8, 2022

PBDS Baharu tidak beri kesan kepada BN

Secara Rawak

KUCHING: Kemunculan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baharu menambahkan jumlah parti pembangkang sedia ada kepada sembilan buah kesemuanya bagi menentang 82 calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-11.

Dengan kemunculannya hanya beberapa hari sebelum hari penamaan calon pada 25 April ini, banyak pemerhati politik beranggapan bahawa adalah sukar bagi parti pimpinan  Louis Jarau ini memberi kesan dan dampak yang signifikan.

Belum diketahui jumlah kerusi yang akan ditandingnya.

Parti pembangkang lain ialah DAP, PKR, SWP, Peace Party, Star, Amanah, PAS, dan Barisan Malaysia.

Pada tahun lalu, PBDS Baharu dalam satu kenyataan berkata bahawa ia tidak akan bertanding di kerusi yang ditandingi Parti Rakyat Sarawak (PRS). Malah, akan mengelak untuk bertembung dengan parti lain, termasuk yang ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP).

“Kami hanya akan kemukakan calon, jika ada, di kawasan majoriti Dayak, selain di 11 kerusi baharu,” kata jurucakap parti berkenaan dalam satu kenyataan tahun lepas.

Malah, satu daripada resolusi PBDS Baharu adalah untuk membentuk percantuman minda dengan parti pembangkang tempatan bagi mengelakkan pertembungan pelbagai penjuru.

pbds baharu

PBDS Baharu mempunyai matlamat untuk memupuk dan mengukuhkan interaksi politik dan sosial yang kondusif dalam kalangan komuniti Dayak dengan etnik lain, serta menggalakkan rasa kepunyaan dalam kalangan kaum Dayak, justeru akan menyumbang kepada kewujudan masyarakat Malaysia yang progresif dan aman.

Dari segi sejarah, PBDS yang asal ditubuhkan pada 1983 oleh Tan Sri Leo Moggie Irok setelah berlakunya perpecahan dengan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP). Selepas Leo Moggie meletak jawatan mengejut sebagai presiden parti pada 24 Jun 2003, PBDS mengalami krisis dalaman.

Konflik itu berlaku ekoran perebutan jawatan antara Timbalan Presiden, Daniel Tajem yang mengambil alih kepemimpinan parti,  tetapi dipertikaikan oleh Ketua Penerangan, Dr. James Jemut Masing. Peristiwa ini membawa kepada pembatalan pendaftaran PBDS oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS). Ia kemudian dibubarkan pada  5 Disember  2003.

Pembubaran PBDS  melahirkan dua parti serpihan, iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang diterajui Dr. James Jemut Masing dan Kongres Dayak Malaysia (MDC)  tetapi gagal didaftarkan. Usaha dilakukan untuk mendaftarkan semula PBDS Baharu, dan kini parti berkenaan dibenarkan untuk bertanding dalam pilihan raya 7 Mei nanti.

Namun, pemerhati politik meragui keupayaannya untuk meninggalkan kesan bermakna dalam waktu singkat. Meskipun ia mungkin mampu menampilkan calonnya, tetapi dengan keterhadan masa, kewangan, dan jentera akar umbi, adalah mustahil untuknya memenangi sebarang kerusi. Malah, ia akan berdepan dengan masalah untuk mendapatkan calon yang benar-benar berwibawa. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru