Mawan di Pakan, Janet di Pelawan Tiga calon SPDP dalam misi khas rampas kerusi

0
637

SIBU: Bukan anaknya, tetapi Menteri Pembangunan Sosial Sarawak, Tan Sri William Mawan Ikom sendiri diumumkan kekal bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pakan pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11), 7 Mei depan.

pakan pelawanPresiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) itu diumumkan sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) Sarawak oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem pada satu sidang media khas di Hotel Kingwood, di sini semalam.

Sebelum ini, Mawan dikhabarkan mempromosi anak lelakinya, yang juga Pengerusi Teras Cawangan Pakan, Jackson William untuk bertanding di kerusi tersebut.

Bagaimanapun keadaan menjadi sebaliknya dipercayai kerana Jackson sendiri mendapat tentangan pelbagai pihak, terutamanya puak Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) selain sentimen yang meningkat berkaitan “kroni” sebagai calon dalam pilihan raya kali ini.

Justeru itu apabila beliau membuat keputusan untuk mempertahankan kerusi tersebut, Mawan bukan berniat mengecewakan harapan anaknya, sebaliknya berusaha memastikan kerusi Dun Pakan kekal milik BN, sambil mengukuh kepercayaan Adenan terhadapnya.

“Situasi ini juga menepis spekulasi yang mengatakan Mawan akan dilantik menggantikan Datuk Seri Douglas Uggah Embas sebagai menteri di peringkat pusat,” kata seorang pemerhati politik hari ini.

Pada 2011, Mawan memenangi kerusi Dun Pakan majoriti 1197 undi. Mawan yang bertanding atas kapasiti BN-SPDP ketika itu memperoleh 3, 938 undi, menewaskan calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Jamal Abdullah @ Tedong Anak Gunda yang mengutip 2,741 undi.

Kali ini nasib Mawan akan ditentukan oleh  10,322 pemilih berdaftar, dengan 51 peratus daripadanya atau 5,263 orang daripadanya adalah lelaki. Dan beliau perlu menawan hati 58 peratus pengundi bawah 50 tahun di kawasan ini yang tersenarai dalam saluran kedua dan ketiga, termasuk 1,262 pemilih yang berusia sekitar 21 ke 29 tahun.

Pada majlis yang sama semalam, Adenan turut menamakan Datuk Janet Lau untuk bertanding atas tiket calon langsung BN Sarawak DUN Pelawan.

Kapitan Datuk Janet merupakan balu mendiang Robert Lau dan Pengerusi UPP Cawangan Pelawan. Pada tahun 2011, calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), David Wong Kee Woan memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 6,391 undi dalam saingan satu lawan satu dengan calon BN-SUPP, Vincent Goh Chung Siong.

Kee Woan memperoleh 13,318 undi manakala Goh sekadar menerima 6,927 undi. Persaingan kali ini dijangka sengit kerana Kee Woan terpaksa menambat hati 50.48 peratus pengundi wanita daripada keseluruhan 32,233 pemilih berdaftar di kawasan itu. Lau pastinya menggunakan potret sentuhan keibuan untuk menambat undi kaum hawa — memandangkan beliau satu-satunya calon muka baharu wanita BN pada kali ini.

Tiga lagi nama yang diumumkan semalam adalah calon SPDP, masing-masingnya Kilat Briak di Dun Krian, Roland Duat (Dun Meluan) dan Willie Liau (Dun Ba’kelalan) — yang akan menjalankan misi merampas kembali kerusi yang ditawan pembangkang.

Dun Meluan merupakan kerusi milik BN pada 2011 apabila Wong Judat (BN-SPDP) mencatatkan perolehan 4,615 undi, dengan menewaskan John Brian Anthony Jeremy Guang (PKR) dengan 2,973 undi dan Labang Jamba (SNAP) 312 undi. Judat yang menang menerusi majoriti 1,642 undi bagaimanapun keluar parti untuk menyertai Parti Pekerja Sarawak (SWP) pada 2012.

Duat, seorang guru yang telah bergerak di kawasan sejak setahun lalu akan berhadapan lebih 50 peratus pemilih berumur di bawah 49 tahun daripada keseluruhan 13,103 pemilih berdaftar.

Misi Kilat Briak pula pastinya sukar kerana perlu berhadapan Ali Biju (PKR) yang muncul “giant killer” pada 2011 selepas menumbangkan Peter Nyarok Entrie, seorang anggota kabinet negeri pada waktu itu.

Pada tahun 2011, Ali yang juga calon muda memperoleh undi 5,178 untuk mengetepikan Peter Nyarok (BN-SPDP) yang memungut 3,088 undi, calon SAP Liman Sujang 216 undi dan wakil Bebas,  Banyi Beriak 125 undi.

Ali yang menang dengan majoriti 2,090 undi kali ini akan menghadapi saingan sengit Kilat bagi merebut 11,959 pemilih berdaftar di kawasan tersebut. Untuk rekod, Krian mempunyai 6,057 pengundi lelaki dan 5,902 pengundi wanita.

Bagi calon Ba’ Kelalan, Willie Liau, 48, pemilihan beliau untuk kembali menentang bapa saudaranya, Baru Bian lebih daripada sekadar pertempuran biasa. Ini kerana beliau bertanding pada penggal lalu dalam keadaan tidak bersedia dan saat akhir, bagi menggantikan Datuk Nelson Balang Rining.

Kini, peguam yang berasal dari Kampung Buduk Bui dan berkelulusan ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LL.B) dengan kepujian daripada Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu lebih bersedia apatah lagi hanya tewas 473 undi pada 2011.

Baru memenangi kerusi itu pada 2011 apabila meraih 2,505 undi, berbanding Liau, 2,032 undi.

Kini, nasib kedua-duanya terletak di tangan lebih 65 peratus pengundi etnik masyarakat Lun Bawang — yang membentuk 7,375 pemilih berdaftar Ba’ Kelalan.

Dengan pengumuman ini, hanya tiga calon BN yang masih belum diumum Adenan iaitu untuk kerusi Dun Marudi, Dun Tasik Biru dan Dun Meradong — yang kini mengalami perebutan sengit dalam kalangan parti komponen BN. – Sarawakvoice.com