Friday, September 30, 2022

Lim Guan Eng terbang ke Kuching esok pagi uji sama ada dalam senarai hitam Adenan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Tidak ada seorang pun rakyat Malaysia meragui bahawa Barisan Nasional (BN) di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem akan memenangi pilihan raya negeri 7 Mei nanti, kata Lim Kit Siang.

Jadi ketua pembangkang  itu meminta agar Tan Sri Adenan Satem  menarik balik sekatan terhadap pemimpin parti pembangkang.

Lim menyifatkan tindakan itu sebagai tidak perlu, memandangkan BN mampu memenangi dua per tiga daripada 82 kerusi yang bakal dipertandingkan bagi mewujudkan keadilan dan gelanggang permainan yang adil.

Kenyataan Lim adalah susulan tindakan pihak imigresen Sarawak mengenakan sekatan terhadap pemimpin pembangkang walaupun pemimpin Umno juga tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan.

“Saya tidak percaya bahawa banyak yang berani berkata bahawa BN Sarawak hanya mampu memenangi 52 kerusi daripada 82 kerusi,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Persoalannya sama ada Pakatan Harapan dan parti yang dikaitkan dengan Pakatan Harapan dapat memenangi 28 kerusi, katanya sambil  mengakui jumlah tersebut adalah sesuatu yang sukar dicapai.

Jadi, beliau bertanya, dengan kedudukan Adenan yang begitu mantap, mengapa perlunya beliau bertindak sedemikian kerana ia hanya menjejaskan imejnya, dengan menyalahgunakan kuasa.

Populariti Adenan dikatakan mencecah 85 peratus, menurut kajian Majlis Profesor Negara (MPN).

Lim percaya bahawa tujuan sekatan berkenaan adalah untuk menghalang kempen pembangkang, tetapi beliau mengingatkan Adenan ia tidak perlu risau bagaimana keputusan pilihan raya nanti menjejaskan legasinya.

Ketika mempertahankan kritikan oleh pelbagai pihak, Adenan menegaskan dalam satu sidang media di sini dua hari lalu, betapa tindakan itu adalah untuk melindungi kepentingan Sarawak.

Ketika penubuhan Malaysia pada 1963, satu daripada perkara yang terkandung dalam Perjanjian 18 Perkara ialah autonomi atau hak dari segi imigresen, lebih bertujuan untuk melindungi 700,000 penduduk Sarawak ketika itu daripada kemasukan beramai-ramai mereka dari Singapura dan Malaya yang lebih maju dari segi ekonomi.

Pengkritik tindakan Adenan sering merujuk seksyen 67 Akta Imigresen yang menyatakan bahawa kuasa khas imigresen tidak membabitkan kegiatan politik yang sah.

Namun, Adenan berkata mereka terbabit boleh memasuki Sarawak selepas pilihan raya, sekali gus membangkitkan persoalan agenda sebenar sekatan berkenaan, sama ada benar-benar untuk menyekat unsur fanatik, ekstremisme dan pelampau agama, budaya, dan kaum atau sebenarnya ia bersalutkan agenda politik.

Seperti ayahnya, Guan Eng, meminta Adenan membenarkan pemimpin pembangkang berkempen di Sarawak.

Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan telah menulis surat kepada Adenan, Selasa, tetapi hingga Jumaat belum menerima jawapan lagi.

Sementara itu, menurut Bernama Lim Guan Eng meminta kerajaan negeri Sarawak membenarkan Ahli Parlimen, wakil rakyat dan pemimpin dari DAP memasuki negeri itu.

Katanya, beliau telah menulis surat kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berhubung perkara itu semalam, namun belum mendapat maklum balas daripada kerajaan negeri itu.

Beliau mendakwa tindakan kerajaan negeri Sarawak melaksanakan larangan memasuki negeri itu terhadap beberapa individu adalah satu penyalahgunaan kuasa.

“Saya ingin tegaskan parti DAP menyokong kuasa yang sedia ada di Sarawak di mana Sarawak boleh menghalang sesiapa masuk ke negeri itu. Tetapi bukan untuk menghalang hanya pemimpin pembangkang dan tidak menghalang pemimpin daripada Barisan Nasional,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan Melayu, Datuk Jamal Md Yunos, yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor, bersama-sama tiga lagi individu turut dilarang memasuki negeri itu sejurus tiba di Kaunter Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 11.30 pagi.

Turut dilarang ialah Pengerusi Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara, Mejar (B) Razali Zakaria, Pengerusi Eratkan Perhubungan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (EPANCO), Ariffin Abu Bakar dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Melayu Klang, Rahim Ibrahim.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata beliau dan pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga exco kerajaan negeri, Chow Kon Yeow akan ke Kuching esok.

“Kita tengok sama ada kami akan dibenar masuk ke negeri Sarawak atau tidak. Saya akan naik penerbangan Air Asia ke Kuching pada pukul 7.10 pagi esok,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru